TFC Bawa Kelebihan Satu Gol ke Gong Badak

KUALA LUMPUR, 21 Oktober – Terengganu FC (TFC) berjaya menewaskan pasukan tuan rumah, Kuala Lumpur City (KL City) dengan jaringan (2-1) pada separuh akhir pertama Piala Malaysia sebentar tadi.

Beraksi di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, kendalian Tomislav Steinbruckner turun dengan hasrat mencari kemenangan di tempat lawan.

TFC yang bermula garang terus melancarkan serangan ke kubu KL City dengan cubaan berbahaya pada minit ke- 16 menerusi Hakim Hassan namun berjaya digagalkan penjaga gol lawan, Kevin Ray Mendoza.

Pada aksi tersebut, TFC membuka tirai jaringan memasuki masa tambahan babak pertama, menerusi penyerang import, Ivan Mamut yang melakukan rembatan dari dalam kotak penalti untuk TFC mendahului 1-0. 

Bersambung babak kedua, pada minit ke 59, Engku Nur Shakir hampir menambah derita tuan rumah apabila rembatannya melepasi palang gol hasil hantaran cantik Ivan Mahmud.

Pada minit ke- 67, penyerang muda, Nik Sharif yang masuk menggantikan Hakim Hassan tidak menunggu lama untuk menguji kubu lawan namun ditepis oleh Kevin.

Pada minit ke 83, Nik Sharif sekali lagi menguji Kevin namun penjaga gol KL City itu terus cemerlang menepis rembatannya.

Berselang 7 minit kemudian, Nik Sharif menggamatkan sorakan lebih 4,210 penyokong di stadium dengan gol kedua TFC melalui umpanan cantik Syahmi Zamri.

Pada masa kecederaan babak kedua, Skuad KL City dihadiahkan sepakan penalti selepas Syahmi Zamri menjatuhkan pemain lawan.

Penyerang import KL City, Tchetche Kipre berjaya menyudahkan penalti tersebut sekali gus memastikan Terengganu tidak membawa pulang bekalan lebih selesa.

Kedua-dua pasukan akan mengharungi aksi separuh akhir kedua di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, 3 November ini.