Sebat : Terengganu Junjung Syariat Islam, Undang-Undang Negara
KUALA TERENGGANU, 27 Mac - Menerima kritikan kerana mengagihkan 'ikan aya' tanpa menggunakan plastik, Hanafiah Mat menjawab tohmahan segelintir pengguna TikTok bahawa cara itu tidak salah.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional itu berkata, tidak terfikir untuk meletakkan ikan tongkol itu di dalam plastik kerana besar, serta memudahkan mereka yang menerimanya untuk terus masak bagi dijadikan hidangan berbuka puasa.
"Bagi saya tiada masalah buat agihan begitu ke setiap rumah, melainkan jika ikan yang diberikan itu ikan selayang atau ikan kembung. Mestilah akan dimasukkan dalam plastik dahulu kerana saiznya lebih kecil,"ujarnya sebagaimana yang dilaporkan Sinar Harian, di sini, hari ini.
Melalui perkongsian video yang dimuat naik sejak Ahad itu menerima lebih 90,000 tontonan dengan 953 komen termasuk mereka yang mempertikaikan niat murni Hanafiah kerana disifatkan menghina golongan miskin dan agihan ikan percuma itu dikatakan seolah-olah seperti mahu diberikan kepada kucing.
Bagaimananapun, terdapat komen positif yang menyokong dan mempertahankan tindakan Hanafiah dengan memuji misi yang jelas dipamerkan olehnya itu dalam membantu meringankan bebanan rakyat.
"Saya terima segala kecaman dengan berlapang dada kerana ia tidak meninggalkan kesan kepada saya. Saya akan terus buat kerja dan berbakti untuk rakyat.
"Hari ini kita sambung lagi agihan 'ikan aya' seperti semalam, kali ini masih juga diberikan kepada penduduk yang tinggal di kawasan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) serta mereka yang memerlukan.
"Syukurlah, untuk setiap ekor 'ikan aya' yang diagih boleh dimasak singgang misalnya untuk dimakan oleh empat ahli keluarga, walaupun pemeberian ini dilihat kecil oleh sesetengah orang, ia dihargai oleh mereka yang memerlukan,"ujarnya.
Dalam pada itu Hanafiah berpendirian agihan yang dilakukan dengan cara demikian dapat meminimumkan penggunaan plastik sekali gus akan melestarikan dan memelihara alam sekitar daripada dicemari bahan buangan seperti sisa plastik.
Difahamkan, proses agihan seekor ikan seberat antara 900 gram hingga 1 kilogram (kg) pada semalam melibatkan lebih 60 rumah PPRT di Kampung Paya Berenjut, Kampung Besut 2, Bakau Tinggi di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Chukai dan hari ini akan diteruskan dengan melibatkan sekitar 55 buah rumah lagi akan menerimanya.