Pegawai Syariah Malaysia Sokong Terengganu Sebat Pesalah Khalwat di Masjid
KUALA TERENGGANU, 22 April - Tular mengenai wanita tidak seharusnya dipaksa bertudung yang dikaitkan dengan seorang peguam dengan mengatakan bahawa "hanya semata-mata seseorang tidak bertudung - adakah dia akan masuk neraka? Adakah dia jadi murtad? Adakah dia jadi seorang perempuan yang jalang?”
Isu berkenaan timbul rentetan buku yang ditulis oleh Maryam Lee Abdullah bertajuk ‘Unveiling Choice’ dan forum ‘Malay Women & Dehijabing’ (‘Perempuan Melayu & Pembukaan Hijab’) yang berlangsung di Kedai Buku Gerak Budaya, Petaling Jaya, pada 13 April lalu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Mohd Noor menyifatkan perkara itu mengejutkan semua pihak dan bertentangan dengan norma agama, adat dan budaya ketimuran yang diamalkan sejak berzaman di negara kita.
Malah, katanya ia boleh mencetuskan pelbagai polemik, keresahan dan kekeliruan di kalangan wanita secara umumnya.
"Wanita ibarat permata yang amat mahal harganya, seharusnya ia dilindungi dan bukan untuk ditayangkan atau diperagakan secara sewenangnya di khalayak. Tambahan perintah pemakaian tudung kepada wanita muslim adalah jelas sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah An-Nur ayat 31: `Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman itu supaya menyekat pandangan mereka dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka menzahirkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka dan janganlah mereka memperlihat perhiasan tubuh badan mereka..' "
"Aurat ini merupakan suatu hak yang perlu dihormati. Jangan ada usaha atau kenyataan yang menyimpang dengan apa yang telah diwahyukan dan fitrah manusia. Jangan kita menjadi pengacau yang merencatkan kefahaman bagi wanita muslim," kata beliau dalam satu kenyataan kepada media, hari ini.
Zuraida berkata, usaha kesedaran menutup aurat sewajarnya ditingkatkan seperti contoh program `Terengganu Hijab Day' di Kuala Terengganu, baru-baru ini yang mendapat reaksi positif pelbagai pihak terutama golongan ibu bapa dan wanita.
Beliau juga berharap supaya tiada lagi suara songsang sedemikian (isu menutup aurat) serta bersama-sama mengekalkan keharmonian yang sekian lama kita kecapi dan semoga umat Islam di negeri dan negara kita mendapat taufik dan hidayah daripada Allah SWT jua.