Tiga Beradik Derita Penyakit Kronik Lega Terima Vaksin

KUALA NERUS, 24 Ogos - Tiga beradik di Teluk Pasu yang menghidapi penyakit kronik lega setelah menerima suntikan vaksin dos pertama di rumah mereka dalam program vaksinasi secara mobil yang dikendalikan oleh Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) hari ini.

Zaleha Awang, 62, serta adiknya, Yusof Awang, 44, menderita penyakit kencing manis manakala seorang lagi adiknya, Rozelan Awang, 54, pula menghidap penyakit strok. 

Turut menerima vaksinasi dos pertama berkenaan ialah ibu kepada ketiga-tiga mereka, Mariam Yusof ,78.

Mewakili keluarga, Azmi Awang, 57, berkata, inisiatif yang dilaksanakan UniSZA memudahkan ahli keluarganya menerima vaksin bagi melindungi daripada jangkitan Covid-19.

"Saya ucapkan jutaan terima kasih kerana datang terus ke rumah, kerana kami mengalami kesulitan untuk pergi ke pusat vaksin walaupun telah menerima jemputan.

"Ini disebabkan kerana kami tidak memiliki kenderaan untuk membawa emak dan adik-beradik yang sakit ini untuk ke pusat vaksin, dengan cara ini ia sangat membantu meringankan kesulitan yang kami hadapi," ujarnya ketika ditemui pihak media, di kediamannya, di sini, pada hari ini.

Dalam perkembangan sama, Ketua Pasukan Data dan Penyelaras Pusat Pemberian Vaksin (PPV) UniSZA, Norkhairani Abdul Rani berkata keluarga itu diberi suntikan vaksin di rumah selepas mereka dikesan menggunakan nombor telefon dan alamat sama untuk pendaftaran vaksin melalui aplikasi MySejahtera.

"Siasatan lanjut didapati mereka terpaksa menolak temu janji yang telah diaturkan untuk hadir ke PPV kerana keterbatasan serta kekangan fizikal yang dihadapi oleh mereka.

"Jadi melalui bahagian data telah mengadakan perbincangan dengan pengarah PPV yang akhirnya kami buat keputusan untuk hadir ke sini dan memberikan perkhidmatan kepada mereka melalui kaedah mobil," ujarnya.

Katanya, keseluruhan ahli keluarga tersebut menerima vaksin jenama Pfizer untuk dos pertama.

"Manakala untuk dos kedua bagi melengkapkan vaksinasi, mereka perlu menunggu 21 hari lagi bagi menerimanya," katanya.

 


Tag: