Aksi yang berlangsung di SHBB sebentar tadi. |
KUALA TERENGGANU, 4 Februari – Pasukan Hoki Wanita Terengganu (TLHT) terus menghambat kedudukan Akademi Hoki Kuala Lumpur (Hockademy KL) di puncak liga selepas melakar kemenangan 5-0 ke atas Sabah sebentar tadi.
Perlawanan yang berlangsung di Stadium Hoki Batu Buruk di sini bagaimanapun bermula dengan agak perlahan apabila kedua-dua pasukan menyajikan aksi berhati-hati.
Jurulatih TLHT, Mohd Nasihin Nubli berkata, walaupun mengutip tiga mata, anak-anak buahnya dilihat melakukan banyak kesilapan teknikal yang mengakibatkan permainan tidak berlangsung rancak.
“Sepatutnya bermain di tahap ini kita tidak mempunyai sebarang masalah untuk mancari gol yang lebih besar.
“Tetapi apa yang positifnya, mereka sudah faham taktikal gaya permainan dengan mencipta banyak peluang, namun perkara kecil yang saya sebutkan tadi menjadi masalah pada kita,” ujarnya yang masih optimis merebut kejuaraan liga.
Dalam perlawanan petang tadi, TLHT dilihat agak bergelut untuk mencari gol pembukaan meskipun mendominasi sebahagian besar perlawanan.
Mohd Nasihin. |
Tetapi usaha berterusan juara musim lalu itu akhirnya membuahkan hasil apabila pada minit ke-14, TLHT berjaya di depan menerusi jaringan sudut penalti oleh Nursyafiqah Mohd Zain.
Tersentak dengan gol itu, Sabah mengatur strategi untuk menyamakan kedudukan, namun keputusan 1-0 kekal memihak Terengganu sehingga tamat separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, TLHT dilihat lebih agresif dengan beberapa peluang keemasan untuk menjaringkan gol tambahan, pada minit ke-33, Fatin Naimah Zaki menceriakan lebih 200 penyokong Terengganu apabila menjaringkan gol cantik untuk TLHT menjarakkan kedudukan.
Berselang 11 minit kemudian, kealpaan benteng pertahanan Sabah sekali lagi dihukum Terengganu apabila Nuraslinda Said meledak gol sebelum Auni Atikah Gahni menambah derita Sabah untuk merubah keputusan 4-0.
Kedudukan itu ternyata melemahkan semangat skuad muda Sabah, beberapa strategi mereka juga tidak menjadi menyebabkan TLHT berjaya menambah satu lagi gol melalui pukulan sudut penalti Juliani Mohamad Din pada minit ke-56.
Add caption |
Perlawanan menentang Hockademy KL pada 8 Februari ini akan menjadi perlawanan penting untuk TLHT memungut tiga mata sekaligus terus mencabar kejuaraan bersama pendatang baru Liga Hoki Wanita Malaysia itu.