Alias Harun bersama kakitangan TNB. |
Oleh : Nooreni Abu Bakar
DUNGUN, 29 Mei - Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Tenaga Nasional Berhad (TNB) Dungun bersama masyarakat di lokasi terpilih dalam Rantau Abang merupakan usaha berterusan untuk menabur bakti kepada masyarakat dan tidak sekadar ‘one-off event’.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun sangat menghargai usaha 70 kakitangan badan korporat berkenaan yang tertumpu kepada aktiviti gotong-royong dan pengagihan sumbangan kepada asnaf.
Jelasnya, pemilihan Masjid Batu Tiong bagi menjayakan program CSR itu memberi keceriaan dan berjaya merapatkan hubungan dengan ahli kariah serta penduduk kampung.
“Dengan mereka turun padang bergotong royong dan sumbangan ini dapat memberi meringankan beban ahli jemaah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media semasa hadir dalam Program CSR itu, di perkarangan masjid berkenaan, di sini semalam.
Sementara itu, menurut Jurutera Kanan TNB Dungun, Ir. Adira Mustafa, pihaknya memilih lokasi berkenaan untuk melakukan program itu kerana menyedari masjid adalah tempat tumpuan orang ramai lebih-lebih lagi di bulan Ramadan.
Tambah Adira, selain aktiviti membersih persekitaran dan membaiki alatan masjid, mereka juga turut mengagihkan sumbangan kepada asnaf.
“Setiap tahun kita akan memilih masjid dan kali ini kita memilih Masjid Batu Tiong, jadi kami akan buat kutipan untuk disumbangkan kepada asnaf, kami akan usahakan itu bagi menjayakan aktiviti ini,” ujarnya.
“Sebelah petang kami menziarahi asnaf untuk menyumbang barangan dapur dan diikuti sumbangan kepada anak-anak yatim berupa duit raya di masjid sebelum majlis ‘namat’,” katanya lagi.