• 17 Sept 2024 | 13 Rabiul Awal 1446

TTI Perkenalkan Dua Feri Crystal Cruise Sempena Kemerdekaan

KUALA TERENGGANU, 27 Ogos - Pihak Taman Tamadun Islam telah melakukan gimik memperkenalkan dua buah feri 'Crystal Cruise' sempena sambutan hari Kebangsaan pada program Sunset Cruise Perarakan Jalur Gemilang semalam..

Dalam acara yang dianjurkan oleh TTI itu, dua buah feri itu diiringi oleh 25 buah jetski yang mengibarkan bendera Jalur Gemilang.

Pengurus Besar TTI, Mohd Fadhil Wahab berkata, program yang diadakan bukan sahaja membangkitkan semangat kemerdekaan di kalangan rakyat setempat tetapi ia juga bagi mendedahkan kepada rakyat Terengganu tentang perkhidmatan dan produk pelancongan yang ada untuk dinikmati semua.

"Sekarang ini salah satu kempen yang kita buat sempena merdeka ini ialah menaiki Feri Crystal Cruise sempena merdeka ini di mana kita tawarkan pakej 'Sunset Cruise', 'Night Cruise' makan atas bot dan sebagainya.

"Kita buka peluang kepada semua pelancong sama ada dari dalam ataupun luar untuk merasai sendiri pengalaman berada di atas feri ini, ia menawarkan pemandangan yang indah sepanjang menyelusuri Sungai Terengganu dengan harga semua orang akan mampu.

"Dapat melihat bandar Terengganu dari atas feri dan kita akan berhenti di Jambatan Angkat bagi merasai pengalaman melihat matahari terbenam atau suasana malam," ujarnya ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman, di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Husaimi Hussin,Pengarah Jabatan Pelancongan negeri Ahmad Ridzwan Abdul Rahman.

Di samping ia turut dihadiri, Pengurus-Pengurus Besar Kumpulan PMINY, wakil Jabatan kerajaan dan GLC serta Pengiat Pelancongan.

Dalam pada itu, Husaimi yang juga merupakan Pengerusi TTI menyeru orang ramai untuk hadir bagi menyemarakkan aktiviti pelancongan di TTI sempena bulan kemerdekaan yang bakal disambut.

"Sebenarnya banyak lagi program-program yang akan dilaksanakan bagi dipersembahkan kepada pelancong yang bakal mengunjungi TTI ini.

"Jadi jangan lepaskan peluang, kita pakat mari ramai-ramai ke sini," ujarnya.

Untuk makluman sempena menjelang kemerdekaan TTI juga akan menganjurkan TTI Merdeka Camping yang berkonsepkan riadah bersama keluarga dengan pelbagai aktiviti menarik telah diaturkan.

Antaranya, pertunjukan bunga api, pertandingan basikal berhias merdeka, cekoh durian dan sebagainya lagi.