TTI Sasar Jadi Hab 'Jet Ski' ASEAN

KUALA TERENGGANU, 12 November - Taman Tamadun Islam (TTI) mahu menjadi hab jet ski Pantai Timur yang terkenal di peringkat ASEAN.

Pengurus Besar TTI, Mohd Fadhil Wahab berkata, perkara itu dapat dicapai memandangkan lokasinya sangat sesuai untuk penganjuran sukan air yang lebih berpestij khususnya perlumbaan jet ski sekali gus merancakkan sektor pelancongan negeri.

Ujarnya, kerana itu pada tahun ini TTI telah menganjurkan Terengganu Watersport Festival 2023 sebanyak dua kali iaitu pada 24 hingga 26 Februari dan kali ini, 10 hingga 12 November.

"Jumlah pengunjung yang hadir pada kali ini seramai 20,000 orang sepanjang tempoh tiga hari ia diadakan, telah menarik kehadiran semua golongan yang meminati sukan air ini.

"Kita mengharapkan agar melalui kerjasama antara kerajaan negeri dan Kementerian Pelancongan, program ini dapat diadakan di peringkat ASEAN.

"Agar berupaya menarik lebih ramai lagi pengunjung yang datang ke sini apabila diangkat ke peringkat lebih tinggi nanti," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di Majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian Hadiah sempena Terengganu Watersport Festival yang disempurnakan oleh Pengarah Pelancongan Terengganu, Ahmad Ridzwan Abdul Rahman, di sini, hari ini.

Mengulas lebih lanjut, Fadhil berkata acara berpestij itu pada kali ini disertai oleh 66 pelumba yang datang dari seluruh Malaysia.

Selain itu katanya, pengunjung yang hadir berpeluang menyaksikan pelbagai aktiviti sukan air seperti perlumbaan perahu layar, perahu naga, pertunjukkan flyboard dan jet surfing, pertandingan memancing, 'hawker street & hawker stall' serta restoran terapung.