KEMAMAN, 20 Januari - Kerja-kerja pembersihan Pantai Teluk Kalong yang dicemari dengan kira-kira 7,000 metrik tan arang batu ekoran sebuah tongkang pecah sejak minggu lalu, akan dilakukan dalam masa terdekat.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris memaklumkan bahawa pihaknya bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah mengadakan perbincangan dengan wakil syarikat tongkang tersebut.
"Syarikat itu bersetuju untuk melakukan kerja-kerja pembersihan pantai itu dan difahamkan syarikat itu sedang dalam proses pemilihan kontraktor berkelayakan untuk melakukan kerja-kerja pembersihan.
"Kerja pembersihan tumpahan arang batu ini dijangka akan mengambil masa hingga sebulan dan syarikat itu memberi jaminan dan komitmen untuk melakukan pembersihan hingga pantai ini benar-benar bersih seperti sediakala," katanya. 
Mengenai tongkang yang tersadai, Razali berkata kerja-kerja mengalih tongkang itu dijangka mengambil masa agak lama ekoran operasi yang rumit.
Sementara itu Pengarah JAS negeri Terengganu, Hamzah Mohamad berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada 11 Januari lalu.
Menurutnya, difahamkan tongkang yang membawa arang batu tersebut sedang dalam perjalanan dari Indonesia ke Vietnam namun terkandas di pantai ini akibat tiupan angin yang kuat.
"Kita akan melakukan pemantauan kerja-kerja pembersihan yang dilakukan syarikat itu dan orang ramai tidak perlu bimbang kerana arang batu itu tidak menyebabkan pencemaran kerana bahan api itu bukan merupakan bahan buangan berjadual dan tidak menjejaskan alam sekitar, hidupan laut dan kesihatan," ujarnya.