Tunggu Perasmian Pasar Malam Baru Binjai Rendah 23 Februari Ini


Oleh: Khairan Mat Jusoh

MARANG, 18 Februari - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Ustaz Sulaiman Sulong akan merasmikan pasar malam mesra waktu solat di perkarangan Pasar Binjai Rendah di sini 23 Februari ini.

Pasar berkenaan istimewa kerana ia disertai oleh peniaga-peniaga food truck, satu kaedah terkini perniagaan di negeri Terengganu.

Pasar tersebut akan beroperasi setiap sabtu bermula selepas asar kemudian dihentikan perniagaan dalam tempoh 10 hingga 15 minit untuk memudahkan peniaga dan pengunjung mengerjakan solat maghrib. 

Pasar malam berkenaan akan dibuka setelah mendapat persetujuan dari Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) setempat dan para peniaga.


Ustaz Sulaiman berkata, melalui cara tersebut, kerajaan negeri berhasrat mendidik rakyat supaya menjaga kesejahteraan hubungan mereka dengan Allah di samping mencari keuntungan kebendaan melalui perniagaan.

Katanya, rakyat sejahtera apabila sejahtera hubungan mereka dengan Allah sekaligus kejayaan sesuatu perniagaan bergantung sejauh mana kuatnya hubungan peniaga dengan Allah termasuk menjaga solat.

Beliau berkata demikian dalam satu perjumpaan di sini semalam.

Seterusnya beliau berharap dengan adanya pasar berkenaan peniaga dan penduduk di sekitar kawasan itu berusaha merancakkan pertumbuhan ekonomi untuk menjadikan Terengganu sebuah negeri maju, berkat dan sejahtera. 

"Ini termasuk dalam soal menjaga kebersihan tapak pasar. Saya berharap semua pihak terlibat prihatin dalam masalah ini dengan cara tidak membuang sampah merata-rata.

"Perkara yang ditekankan juga ialah pengurusan tapak pasar malam, di mana pihak terbabit mestilah mengikut piawaian dan kehendak yang ditetapkan supaya tidak berlaku perkara yang tidak diingini dan menyusahkan peniaga serta pengunjung pasar berkenaan," jelas beliau.

Sebanyak 94 tapak perniagaan di situ yang berukuran 10x10 kaki persegi telah ditawarkan kepada orang ramai dan semuanya habis ditempah dalam masa dua jam selepas diumumkan baru-baru ini.


Tag: