KUALA LUMPUR, 12 November - Pertahanan Terengganu FC II, Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili dinobatkan sebagai Pemain Paling Berharga (MVP) dalam saingan Piala MFL 2023, yang berakhir semalam.
Pemain berusia 19 tahun itu menyifatkan, kejayaan merangkul anugerah peribadi itu menjadi motivasi dirinya untuk berkembang di peringkat lebih tinggi.
"Terima kasih kepada jurulatih, anugerah itu bukan untuk saya seorang kerana kita satu pasukan dan asbab kejayaan itu datang dari rakan-rakan dalam serta luar padang.
"Semestinya kejayaan malam ini menjadi motivasi untuk perlawanan akhir Piala Malaysia nanti," katanya ketika ditemui pemberita selepas perlawanan akhir Piala MFL 2024 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, semalam.
Pemain kebangsaan bawah 23 tahun itu turut menganggap peluang bermain dalam pelbagai saingan liga banyak membantu perkembangan dirinya.
"Bagi saya,ia satu rezeki dapat bermain di skuad utama, Terengganu FC II dan skuad presiden.
"Ia bukan satu beban, sebaliknya peluang untuk membalas kepercayaan yang diberikan dengan komitmen setiap kali diturunkan.
"Ia pengalaman berharga dan juga mematangkan saya dalam perlawanan seterusnya," katanya.
Dalam pada itu, pengendali Terengganu FC II, Hairuddin Omar berharap Ubaidullah atau dikenali dikalangan rakan-rakan dengan panggilan Ubai, dapat berkembang lebih baik sebagai pemain.
Jelasnya, ramai pemerhati memperkatakan tentang bakat Ubaidullah di posisi pertahanan.
"Tetapi, saya melihat Ubai sebagai pemain bola sepak moden yang bukan sahaja bagus di pertahanan.
"Ada bakat lain di mana, kita lihat sebagai pemain nombor enam yang ada mentaliti bertahan dan menyerang, Ubai ada kedua-duanya.
"Ubai beberapa kali melakukan gerakan yang sangat bagus bagi pemain muda seperti beliau malam ini (semalam).
"Saya fikir karier beliau akan berkembang lebih baik selepas ini. Apa yang penting, bagaimana Ubai menjaga diri beliau untuk terus berkembang sebagai satu aset baru pasukan negara," katanya.