UMT Baik Pulih Kapal Tinggalan 'Monsun Cup'
KUALA NERUS, 10 Mac - Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah mendapatkan enam kapal layar 'tinggalan' Monsun Cup daripada kerajaan negeri untuk digunakan sebagai kapal latihan bagi aktiviti kokurikulum pelajar dan komuniti setempat.
Naib Canselor UMT, Profesor Ir Ts Dr. Mohd Zamri Ibrahim berkata, ia sebagai salah satu usaha memperkasakan kemudahan untuk pengajaran dan latihan selaras usaha UMT sebagai peneraju sukan air diperingkat institusi pengajian tinggi (IPT).
Tambahnya, UMT merupakan satu-satunya universiti dalam negara yang menawarkan program dan kursus berkredit berteraskan aktiviti pelayaran.
"Sejak 2019, para pelajar UMT telah dihantar mewakili negara di dalam kejohanan kapal layar diperingkat kebangsaan dan antarabangsa.
"Terima kasih kepada kerajaan negeri kerana telah menawarkan kapal layar melalui Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT) kepada UMT dengan harga yang agak mampu dibeli, lebih kurang dalam RM5,000 sebuah. Dengan pemilikan ini, pihak UMT berhasrat menghidupkan semula muara Sungai Terengganu dengan kemeriahan aktiviti pelayaran.
"Namun, sudah tentu kos untuk membaik pulih kapal itu agak tinggi dan mencecah ratusan ribu. UMT juga berterima kasih kepada pihak kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) kerana kita telah mendapat peruntukan untuk kita gunakan bagi usaha baik pulih dan menugas semula enam unit kapal layar yang telah dibeli.

"Kita akan segerakan pembaikan supaya boleh digunakan pelajar. Selain daripada aktiviti kokurikulum, kita juga akan gunakan kapal layar ini untuk program Pembangunan belia dan akan menganjurkan regatta di peringkat nasional dan antarabangsa. Pada tahun lepas, kita menganjurkan kejohanan kapal layar di peringkat UMT dan mungkin pada masa akan datang, kita merancang untuk menjadi hos kejohanan sebegini diperingkat IPT," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perutusan Naib Canselor 2025 di Dewan Sultan Mizan, baru-baru ini.
Menurutnya, UMT turut menjalankan aktiviti pemindahan ilmu pelayaran kepada komuniti setempat terutamanya pelajar sekolah,pelajar OKU dan ahli Persatuan Pengakap Malaysia yang bertempat di UMT-Community Sailing Clubhouse di Duyong Marina Resort, Pulau Duyong.
"Pada tahun lepas, kita telah menghantar enam orang pelajar bagi mewakili Malaysia di kejohanan FISU World University Championship (bagi kategori pelayaran) di Densenzano del Garda, Itali.
"Jadi, untuk itu UMT berazam mempertingkatkan keupayaan menjadi peneraju bidang marin termasuk aktiviti sukan dan penyelidikan termasuk menaik taraf Pusat Selaman UMT di Pulau Bidong.
"Ini kerana kami ingin melahirkan penyelam terlatih daripada kalangan pelajar dan juga warga UMT. Pihak unversiti juga serius memastikan setiap perancangan yang dibuat tahun ini dapat dilaksanakan berdasarkan peruntukan yang diluluskan oleh KPT," katanya.