Utamakan Budi Bicara Dalam Penguatkuasaan

KUALA TERENGGANU, 9 Julai – Kerajaan Negeri sentiasa berkomunikasi dengan seluruh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) supaya menjalankan penguatkuasaan dengan budi bicara apabila berdepan dengan sebarang kes terutamanya melibatkan peniaga dan penjaja.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, ia selari dengan polisi asas yang sudah termaktub dalam akta PBT dan sudut penguatkuasaannya.

“Jika ada masalah, kita sarankan jangan terus saman, bincang dahulu dengan berpandukan prinsip ‘case by case’ yang bermakna jangan beri tindakan terburu-buru, elakkan menyakiti, meroboh kedai atau bangsal mereka.

“Ia mesti didahului dengan perbincangan baik. Contohnya, jika ada peniaga yang mengganggu laluan dan membawa risiko keselamatan kepada pengguna jalan raya lain, penguatkuasaan perlu berbudi bicara dahulu.

“Kadang-kadang PBT boleh ketepikan atau pindahkan operasi perniagaan mereka agar laluan jalan raya tersebut selamat buat pengguna lain,” katanya ketika bersiaran langsung di TVDI, semalam.

Tambah Mohd Nor, polisi tersebut diutamakan mengambil kira kesusahan dihadapi rakyat semasa menghadapi kesan ekonomi akibat pandemik COVID-19.

“Jadi kita tekan untuk selamatkan kehidupan mereka, jika berlaku kes lain daripada polisi ini, maka aduan boleh dibuat kepada wakil rakyat, wakil kampung, dan sebagainya untuk tindakan lanjut.

“Kerajaan negeri mengamalkan nilai adil kepada semua, sama ada penguatkuasa, pengguna malah peniaga,” ujarnya.