KUALA TERENGGANU, 7 Julai – Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri meluluskan sebanyak 3,143 permit penyembelihan korban sempena sambutan Hari Raya Aidiladha pada tahun ini sehingga semalam.
Pengarah JPV negeri, Dr. Anun Man berkata, permohonan pendaftaran penyembelihan itu bertujuan memastikan ternakan yang sihat sahaja disembelih dan mengurangkan risiko berlakunya kejadian wabak penyakit ternakan selepas musim perayaan
“Permit yang diluluskan itu melibatkan lembu sebanyak 2,823 ekor, kerbau (24 ekor) dan kambing sebanyak 133 ekor.Ini termasuk 891 permit pemindahan ternakan juga diluluskan iaitu 1,945 ekor lembu, kerbau (26 ekor) dan 19 ekor kambing.
“Semua ternakan yang akan mendapat permit itu menjalani proses saringan kesihatan dan selamat dimakan,” katanya di sini semalam.
Menurut beliau lagi, JPV masih membuka permohonan permit sembelihan dan pemindahan ternakan itu dibuka di seluruh negeri ini sehingga hari ini..
Tambahnya, bilangan penyembelihan ternakan untuk ibadah korban di luar rumah sembelih juga meningkat pada tahun ini berbanding ketika penularan pandemik Covid-19, dua tahun lalu.
“Kita juga nasihatkan orang ramai yang melaksanakan ibadah korban itu juga perlu mematuhi peraturan-peraturan lain yang ditetapkan oleh JPV,”ujar beliau.
Dalam masa yang sama, Dr Anun bekalan lembu untuk ibadah korban di negeri ini juga mencukupi sempena Aidil Adha.