KUALA TERENGGANU, 10 Februari- Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah berharap insiden yang berlaku dalam perlawanan antara Terengganu FC II dan Penang FC, semalam.
"Saya bagi pihak penganjur mengucapkan syabas dan tahniah kepada Terengganu FC II yang muncul juara Kejohanan Empat Penjuru Piala Menteri Besar Terengganu 2022.
"Dalam masa sama, melahirkan rasa kecewa dengan insiden yang berlaku dan kita harapkan insiden sebegini dapat dielakkan dalam pertandingan selepas ini.
"Walaupun insiden berlaku, semoga tujuan dan matlamat perlawanan bukan sahaja untuk dapat kemenangan tetapi juga menaikkan taraf sukan bola sepak dan melahirkan bakat hebat tercapai," katanya.
Jelasnya, perkara berkenaan akan dirujuk kepada pihak berwajib dan kepada Malaysian Football League (MFL) untuk membuat sebarang keputusan berdasarkan laporan yang bakal diberikan penganjur nanti.
Tambah Wan Sukairi, peristiwa yang berlaku juga tidak sekali-kali mematahkan semangat penganjur untuk terus mengadakan kejohanan itu pada masa akan datang.
"Kepada pasukan Terengganu FC I dan II, pengurusan dan juga kru supaya dapat saling bekerjasama serta membantu satu sama lain untuk menjadikan Terengganu FC pasukan yang digeruni dan mampu memenangi apa juga kejohanan yang disertai.
"Momentum yang ada malam ini adalah satu permulaan yang baik.
"Kita harap ini adalah petanda baik dan pembuka semangat kepada pasukan dalam kejohanan yang lain," katanya.