Warga Emas Derita Retak Tulang Punggung Dibantu


Penderitaan Ibrahim mendapat perhatian Ahli Parlimen Kuala Nerus.

Oleh: Nizam at-Takiri

KUALA NERUS, 12 Julai – Nasib seorang warga emas, Ibrahim Hamzah, 80, dirundung duka kerana terlantar sakit dan tidak mampu berjalan selepas terjatuh dari tangga kediamannya di Kampung Tebakang, Bukit Payung pada awal April lalu.

Menurut anaknya, Mohd Saifuddin Ibrahim, 32, berkata, dia tidak menyangka bahawa peristiwa tersebut terus mengubah nasib mereka sekeluarga.

Tambah Mohd Saifuddin yang sebelum ini bekerja sepenuh masa sebagai penjual barangan aksesori kereta, katanya dia terpaksa mengorbankan kerjayanya itu demi menjaga ayahnya.

“Ayah saya dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) selepas terjatuh dari tangga rumah telah mengalami keretakan di tulang punggungnya dan tidak lagi mampu berjalan seperti biasa, ujarnya.

“Saya sepanjang hari akan menguruskan keperluan hidup ayah saya seperti mandi, memberi makan, minum, dan lain-lain,” katanya lagi.

Manakala isteri Mohd Saifuddin pula terpaksa bekerja sebagai pembantu jualan di kedai perabot Wakaf Mempelam, demi menyara kehidupan suami dan anaknya yang masih berusia tiga tahun.


Semalam, Ibrahim yang kini menetap di rumah anaknya di Taman Batin Perdana, Kampung Batin, Seberang Takir telah diziarahi Pegawai Khas Ahli Parlimen Kuala Nerus, Wan Yusrizal Wan Shafi’I serta anggota Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kuala Nerus (PKAPKN).

Turut hadir, Pegawai Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTs) Dun Seberang Takir, Ahmad Badarul Inshan Muhamad dan Setiausaha Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Batin, Khairul Aswani  Abd Rahman. 

Wan Yusrizal yang mewakili Dr Khairuddin memberi bantuan berupa wang tunai dan keperluan harian keluarga tersebut semalam.

Ujarnya, sumbangan berkenaan  sedikit sebanyak mampu mengurangkan bebanan dan kesusahan yang diharungi oleh keluarga Ibrahim.


Tag: