Warga Emas Positif Covid-19 Terlibat Banjir Diberi Rawatan Segera

DUNGUN,19 Disember - Pasangan warga emas, Salleh Che Mat, 70, dan isterinya Tengku Ramlah Tengku Bujang, 56, dari Kampung Minda yang terperangkap dalam banjir dan positif Covid-19 diberi rawatan segera.

Penolong Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Jerangau, K.Balu Mahendra berkata, pihaknya mendapat panggilan menyatakan keadaan mangsa yang pada awalnya mengalami gejala serta demam teruk.

"Pada awalnya ingatkan kedua-keduanya telah berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Kampung Minda, sebaik saya tiba bersama pasukan saya pada ketika itu turut hadir pada waktu itu anggota polis,Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan juga Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman.

"Kami segera mendapatkan bantuan masyarakat di sini untuk menyediakan dua buah bot fiber bagi mengangkut pesakit, mengambil masa 10 minit untuk sampai ke kediaman mereka dengan bantuan anggota polis dan APM bagi memudahkan perjalanan kami ke tempat yang sukar dilalui.

"Ketika kami sampai salah seorang mangsa iaitu Pak Salleh berada dalam keadaan sejuk dan terketar-ketar, saya segera membuat pemeriksaan awal  ke atas pesakit tersebut.

"Selepas mendapati keduanya positif segera dibawa keluar dari kawasan terbabit, serta mangsa dibawa segera menaiki ambulan untuk dihantar ke klinik dan bagi mendapatkan pemeriksaan selanjutnya kemudiannya telah dibawa ke pusat kuarantin (PKRC)," ujarnya

Beliau berkata demikian ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), di sini, pada hari ini.

Katanya, walaupun terpaksa berhadapan risiko dan kesukaran dalam operasi membantu warga emas berkenaan, pihaknya tetap bertanggungjawab menyelamatkan anggota masyarakat bagi menghalang jangkitan merebak.

"Itu lebih utama bagi saya, saya juga mengambil kesempatan bagi menasihatkan masyarakat sekiranya berlaku perkara sebegini segera buat laporan dan panggilan kecemasan. Amalkan penjarakkan sosial,basuh tangan sentiasa serta ikuti segala arahan serta Prosedur operasi Standard (SOP) sebagaimana yang telah diarahkan," ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Pegawai Pertahanan Awam daerah, LT.(PA) Mohd Jeffri Johari berkata dalam hal membabitkan pesakit yang bergejala, PPS khas telah disediakan oleh kerajaan.

"Oleh itu adalah penting supaya semua mangsa mengambil sikap untuk sentiasa berjaga-jaga sebagai langkah keselamatan, apabila bergejala elakkan dari berjumpa dengan orang ramai supaya tidak menjadi penyebab kepada tersebarnya virus covid-19 ini," ujarnya.

 


Tag: