Oleh: Nooreni Abu Bakar
DUNGUN, 6 Julai - Kerana kasih seorang ibu, Zabidah Ibrahim, 61 tetap sabar menjaga anaknya, Roslan Ahmad Hassan Sahimi, 42, yang telantar sejak terlibat dalam kemalangan dengan kerbau lapan bulan lepas.
Selain menjaga kebersihan diri, Zabidah turut menyuapkan susu kepada anaknya itu.
"Susu empat kali sehari, masuk ikut tiub, mak cik beri macam doktor suruh.
"Pada mak cik, mak cik jaga dia semampu mak cik, walaupun dia tidak boleh bercakap dan tidak boleh bergerak," katanya.
Menurutnya, itu semua merupakan rutin hariannya yang dilaluinya saban hari.
"Selepas sembahyang Subuh, terus 'tengok' dia, siap-siap dia kemudian baru buat sarapan untuk kita," ceritanya dengan nada ceria walaupun di wajahnya tergambar kepenatan.
Zabidah ditemui ketika kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Rantau Abang, Alias Harun ke rumahnya di Kampung Pinang Baru, baru-baru ini untuk menyerahkan cek sumbangan Tabung Darul Iman kepada Roslan.
Hadir sama, kakitangan Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera(iMiTS) DUN Rantau Abang, Muhammad Muaz Anuar dan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung(MPKK) Pinang Baru, Mat Zakaria A. Rahman.
Mengimbas kembali peristiwa tersebut, anak lelakinya yang merupakan seorang bapa tunggal kepada tiga orang anak, keluar dengan menunggang motosikal di waktu malam.
Di pertengahan jalan,dia secara tidak sengaja bertembung dengan seekor kerbau menyebabkan tempurung kepalanya pecah dan tercedera," ceritanya.
Namun, Zabidah bersyukur kerana anaknya yang sebelum ini koma telah kembali sedar.
Sebelum kejadian tersebut, anaknya bekerja sebagai pengait buah kelapa sawit dan menjadi nadi keluarga mereka.
"Kini, dengan bantuan lampin pakai buang, susu khas dan sumbangan dari pelbagai pihak, kuranglah sedikit belanja untuk mengurusnya," katanya.