Warisan Terengganu Dipelihara Melalui Digitalisasi

KUALA NERUS, 22 Mac - Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) terus bergerak ke hadapan dalam memelihara warisan Terengganu apabila melaksanakan langkah mendigitalkan khazanah negeri tersebut.

Naib Canselor UniSZA, Prof. Dato' Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata, usaha itu penting bagi mengembalikan semula minat masyarakat khususnya pencinta budaya terhadap wasrisan negeri seiring dengan perkembangan dunia. 

Katanya, langkah terbaru yang dilakukan  Pusat Kesenian dan Warisan (PKW) UniSZA ialah mengangkat usaha pendigitalan khazanah berkenaan ke peringkat nasional.

"Kita telah menyertai ArtScience di balai Seni 'Maybank's Virtual Reality Gallery' di Kuala Lumpur dan peringkat antarabangsa dengan membuat penyertaan di 'Digital Representation dan Research in Art', 'Humanities and Culture di Centre For Greater China Studies' dan ' The Hang Seng University Of Hong Kong' di China," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media, pada Majlis Perasmian Galeri Digital Sanggar Seni dan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara universiti berkenaan dengan Husa Network Sdn Bhd serta Avantcom International Sdn Bhd, di sini semalam.

Majlis yang telah disempurnakan oleh Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato' Yahaya Ali itu turut dihadiri oleh Pengurus Besar Husa Network Sdn Bhd ,Ozarizan Mohd Nor, Pengarah Avantsky Sdn Bhd, Wan Akmal Othman, serta Ketua Pegawai Eksekutif Avantcom International Sdn Bhd, Farhana Abdullah.

Menurut Dr Hassan, pendigitalan manuskrip mengenai khazanah kesenian dan warisan juga sedang dibangunkan.

"Melalui kerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pusataka (DBP) selain arkib dari negeri ini dikumpulkan, kita juga telah turut menerima 30,000 naskah manuskrip dari luar dan dalam negara.

"Perbincangan telah dijalankan dengan beberapa buah negara seperti eropah, timur tengah dan juga dari negara untuk tujuan itu bagi mengikut langkah sebagaimana Perpustakaan di British terkenal kerana menyimpan benda lama seperti manuskrip ini," ujarnya.

Dalam pada itu, Dato' Yahaya Ali berkata, usaha dilakukan pihak universiti terbabit diyakini akan mencetuskan kesan yang baik untuk negeri ini.

"Perjanjian yang dimenterai itu akan menjadi nilai tambah dalam memperkenalkan seni warisan yang kita ada sekali gus mengalakkan pelancong untuk hadir ke negeri ini.

"Kita mahu pembinaan kekuatan yang berkaitan kesenian warisan budaya kita ini akan lebih dikenali, dipandang hebat dan boleh dihayati oleh seluruh masyarakat," ujarnya.

Mewakili HUSA Network Sdn Bhd, Ozarizan berkata melalui kerjasama yang telah dimeterai, pihaknya mengambil langkah kehadapan.

"Kita akan memberikan kerjasama bagi memastikan hasrat untuk memartabatkan kesenian dapat dicapai melalui penyampaian kandungan berbentuk kesenian dan kebudayaan melalui siaran radio Manis FM yang kita miliki," ujarnya.