Warung Roti Canai Dikelilingi Sawah Padi
KUALA NERUS, 16 Disember - Idea membina gerai di tengah-tengah sawah padi di Kampung Padang Maras, Batu Rakit, di sini pernah diperlekehkan sebagai kerja pelik dan tidak masuk akal satu masa dahulu.
Bagaimanapun, tohmahan itu tidak mematahkan semangat pemilik Warung Roti Canai Pok Ripin, Mat Ariffin Taib, 69 untuk berniaga bersama isteri dan dibantu empat orang anaknya.
Menurut Mat Ariffin, orang ramai yang hadir ke gerai tersebut kebanyakkannya kerana tertarik dengan persekitaran warung yang dikelilingi sawah padi menghijau, udara nyaman dan permandangan indah.
"Walaupun baru dibuka tiga bulan lalu, sambutan orang ramai terhadap warung ini diluar jangkaan, kami menerima kunjungan sekitar 500 pelanggan setiap hari dan jumlahnya bertambah sekali ganda apabila hari minggu," katanya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) semalam.
Sementara itu, aanak pemilik warung, Zakaria Mat Ariffin, 26, berkata sudah hampir 30 tahun ayahnya berniaga roti canai sejak di tapak asal warung berhampiran Pasar Maras.
"Ketika itu hanya pelanggan tetap dan orang-orang kampung yang datang membeli," jelasnya.
Katanya, sebaik berpindah ke tapak baru pada awal Oktober lalu, pelanggan yang dikunjung di luar jangkaan, bukan sahaja di kalangan penduduk setempat, malah ada yang tinggal di Pahang dan Kuala Lumpur.
“Walaupun di tapak baru, ayah masih mengekalkan harga lama iaitu hanya RM1, masing-masing untuk roti canai kosong, nasi lemak, mee goreng dan pelbagai jenis air.
“Faktor itu juga membuatkan kedai ayah semakin hari semakin dikenali ramai, sehinggakan terpaksa menunggu meja kosong untuk menikmati makanan,” jelasnya.
Menurutnya, hasrat akan datang cukup besar kerana dia bersama adik-beradik yang lain mahu meluaskan perniagaan ayah mereka dengan membuka kiosk-kiosk baharu.
"Ada juga yang bercadang menambah lain-lain perkhidmatan, termasuk pakej berbasikal mengelilingi kawasan sawah dan membina pondok rehat untuk bergambar.
"Saya berasa bangga walaupun warung milik ayah hanya dibina menggunakan kayu terpakai yang dibeli hasil sumbangan adik-beradik dan hasil carian kayu di hutan, kini Warung Pok Ripin menjadi sebutan ramai," tambahnya.