YBC Sempoi, Rakyat Chukai Lebih Kenal

KUALA TERENGGANU, 29 Mac - Kaedah yang dilakukan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai, Hanafiah Mat mengagihkan ikan tanpa diletakkan dalam plastik tidak perlu dijadikan isu besar kerana ia hanya perkara biasa bagi masyarakat yang tinggal di tepi pantai.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional itu telah dikenali sebagai 'YB paling sempoi' di negeri ini.

"Nak (hendak) tahu sempoi ke tidak, sembanglah dengan YB Haji Hanafiah, bergurau tak kira siapa. Mesra, dekat dengan rakyat tanpa mengira siapa.

"Tapi itulah rencam kepelbagaian pandangan, kita rai jerlah, Apa yang paling pasti, rakyat dalam kawasan DUN beliau lebih mengenali wakil rakyatnya,"ujarnya menerusi satu hantaran di facebooknya.

Ujarnya lagi, bukan senang untuk puaskan hati semua orang walaupun dilihat Hanafiah sering kali berusaha membantu rakyat dengan pelbagai cara termasuk agihan 'ikan aya' itu sehingga menerima komen negatif kerana tular di media sosial.

"Suasana ni biasa 'je' sesama orang kampung khususnya penduduk di tepi pantai, Itu tanda ikan baru naik dan masih segar. Penerima tiada rasa penghinaan pun.

"Suasana nelayan nak kongsi ikan sekarang mungkin payah sikit sebab kos sara hidup yang makin meningkat dan harga ikan juga boleh tahan, adakalanya, bagi nelayan bot fiber, mereka balik dengan tangan kosong walaupun sehari di tengah lautan,"katanya.

Sementara itu, Hanafiah semalam mengagihkan ayam mentah untuk keluarga yang tidak berkemampuan dalam kategori asnaf di desa Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) semalam.

"Kecil bagi kita, besar bagi mereka ... Tenang hati melihat mereka masih mampu mempamerkan senyuman,"ujarnya menerusi TikToknya.