lightning-solid
Berita :
YPKT Bantu Ibu Tuntut Nafkah Anak, Bapa Culas Berdepan Penjara 30 hari
YPKT Bantu Ibu Tuntut Nafkah Anak, Bapa Culas Berdepan Penjara 30 hari
Mastura Jamal Din
1 jam yang lepas
72

KUALA TERENGGANU, 11 Ogos – Kerajaan negeri menyediakan saluran bantuan melalui Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT), termasuk khidmat guaman, bagi membantu golongan ibu mendapatkan hak nafkah anak melalui Mahkamah Syariah.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata, kemudahan itu turut memberi panduan kepada ibu yang berdepan kekangan kewangan atau kurang memahami prosedur undang-undang untuk membuat tuntutan nafkah.

"Pendekatan itu membuktikan kerajaan negeri bukan sahaja mengambil tindakan terhadap pihak yang ingkar, malah turut menyediakan mekanisme sokongan kepada ibu dan anak yang terkesan.

“Melalui pasukan khidmat guaman YPKT, mereka boleh mendapatkan panduan berkaitan tuntutan nafkah dan tindakan yang boleh diambil sekiranya bekas suami gagal mematuhi perintah mahkamah,” katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman.

Sementara itu, Maliaman turut bersetuju dengan saranan peguam syarie  agar bapa yang culas membayar nafkah anak dikenakan tindakan tegas termasuk hukuman penjara melalui perintah pengkomitan, sekiranya gagal mematuhi perintah Mahkamah Syariah. 

Menurutnya, Terengganu sejak awal lagi mengambil serius isu kegagalan bapa menunaikan tanggungjawab nafkah, dengan Mahkamah Syariah negeri mempunyai bidang kuasa mengenakan hukuman penjara antara tujuh hingga 30 hari terhadap mereka yang sengaja mengingkari perintah mahkamah berkaitan pembayaran nafkah anak.

Katanya, hukuman berkenaan boleh dikenakan terhadap bapa yang gagal mematuhi perintah pembayaran nafkah anak melalui Notis Penghakiman.

“Tindakan ini bukan bertujuan menghukum semata-mata, sebaliknya sebagai peringatan keras supaya golongan bapa tidak mengabaikan tanggungjawab terhadap kebajikan dan masa depan anak selepas berlaku perceraian.

“Kita tidak akan berkompromi dalam isu nafkah anak kerana ia adalah hak anak yang perlu ditunaikan oleh bapa, bukannya sesuatu yang boleh dipandang ringan atau ditangguhkan sesuka hati,” katanya.

Maliaman berkata, rekod Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu menunjukkan seramai 10 bapa telah dikenakan hukuman penjara antara 2012 hingga 2025 kerana ingkar terhadap perintah mahkamah berkaitan pembayaran nafkah.

Katanya, bagi tempoh 2026 pula, sebanyak 46 kes kegagalan menunaikan nafkah telah direkodkan, menunjukkan isu berkenaan masih memerlukan perhatian serius semua pihak.

“Angka ini tidak boleh dilihat sebagai sekadar statistik kerana di sebaliknya ada anak-anak yang mempunyai keperluan harian, pendidikan dan kebajikan yang perlu ditanggung.

“Jangan jadikan perceraian sebagai alasan untuk melepaskan tanggungjawab sebagai seorang bapa. Hubungan sebagai suami isteri mungkin berakhir, tetapi tanggungjawab terhadap anak tetap berterusan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri bukan sahaja mengambil tindakan terhadap pihak yang ingkar, malah menyediakan mekanisme sokongan bagi memastikan ibu dan anak yang terkesan mendapat pembelaan sewajarnya.

“Kerajaan negeri tidak mahu ada ibu yang terpaksa menanggung beban seorang diri hanya kerana tidak tahu ke mana hendak mendapatkan bantuan.

“Prinsip kita jelas, hak anak mesti dipelihara. Jika perintah mahkamah telah dikeluarkan, ia wajib dihormati dan dipatuhi,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bapa yang mempunyai tanggungjawab nafkah supaya melaksanakan kewajipan tersebut tanpa menunggu sehingga tindakan penguatkuasaan diambil.


Tag :

Artikel Berkaitan