KUALA TERENGGANU, 15 Disember - Pengerusi Jawatankuasa Task Force Penyelesaian Tanah Felda Terengganu, Dato' Dr. Azman Ibrahim menafikan dakwaan bahawa Felda telah membayar premium tanah ladang komersial mengikut nilai pasaran pada tahun 2011.
Menurutnya, dakwaan tersebut adalah tidak tepat apabila nilai premium RM1,200 seekar yang dibayar pada ketika itu bukanlah nilai pasaran tanah, sebaliknya kadar khas bagi tanah yang diwartakan di bawah Akta Penempatan Berkelompok (GSA) untuk dimasukkan peneroka.
"Fakta yang jauh meleset apabila TPM mendakwa Felda telah membayar premium tanah untuk membangunkan ladang komersial pada tahun 2011 mengikut nilai harga pasaran ketika itu.
"Nilai premium yang dibayar pada tahun 2011 hanya RM1,200 seekar. Betulkah nilai tanah pada tahun 2011 semurah itu?" soalnya menerusi satu hantaran di Facebook, sebentar tadi.
Beliau menjelaskan bahawa kadar RM1,200 seekar hanya terpakai bagi tanah GSA, di mana peneroka akan dimasukkan dan seterusnya membayar premium sebanyak 10 peratus daripada harga pasaran semasa sebelum diberikan geran hak milik individu.
"Sebenarnya nilai bayaran RM1,200 seekar ialah jumlah bayaran bagi tanah yang diwartakan bawah Akta GSA untuk dimasukkan peneroka.
"Apabila semuanya selesai, peneroka akan diberikan geran hak milik secara individu. Bukan geran hak milik kepada Felda," jelasnya.
Azman turut menegaskan bahawa ladang komersial Felda atau FGV tidak termasuk dalam kategori tanah GSA kerana ia tidak melibatkan peneroka dan tertakluk kepada kadar premium berbeza seperti yang ditetapkan dalam Peraturan Tanah Negeri.
Tambahnya, antara punca pentadbiran Kerajaan Negeri pada tahun 2011 tidak memberikan geran hak milik kepada Felda adalah kerana syarat memasukkan peneroka tidak dipenuhi walaupun bayaran premium GSA telah dibuat.
"Antara punca pentadbiran Kerajaan Negeri pada tahun 2011 tak bagi geran hak milik kepada Felda ialah kerana Felda bayar RM1,200 seekar tapi tak masukkan peneroka," katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa isu sebenar yang sedang dirundingkan ketika ini adalah berkaitan kadar premium tanah ladang komersial mengikut peraturan negeri.
"Nasihat saya, sebaiknya TPM perlu lebih memahami dan mendalami sebelum bercakap isu ini," ujarnya ringkas.