• 05 Mei 2024 | 26 Syawal 1445

Kerajaan Digesa Tambah Baik Infrastruktur Pelancongan Besut

KUALA TERENGGANU, 24 April – Kerajaan Negeri disaran menambah baik kemudahan asas dengan tujuan memajukan sektor pelancongan di daerah Besut khususnya DUN Kuala Besut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Azbi Salleh berkata, penambahbaikan infrastruktur itu bagi menarik lebih ramai pelancong ke kawasan tersebut.

"Saya ingin menyentuh tentang prasarana untuk kemudahan pelancong, ada yang datang menaiki bas yang sedikit menyukarkan mereka kerana tidak ada sistem pengangkutan yang lebih efisien. 

"Pelancong hanya berjalan kaki ke jeti untuk ke Pulau Perhentian dan jarak dari stesen bas ke jeti ialah sekitar 850 meter iaitu mengambil masa lebih kurang 15 minit.

"Hal ini menyebabkan pelancong berpanas dan berhujan untuk ke jeti tersebut," jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam Perbahasan Dewan Undangan Negeri Terengganu mesyuarat pertama penggal kedua Dewan Undangan Negeri Terengganu ke-15 2024, Wisma Darul Iman, semalam.

Oleh itu, beliau mencadangkan agar kerajaan negeri menyediakan kemudahan asas seperti yang terdapat di Hatyai, Thailand, di mana perkhidmatan kereta atau van dikenali sebagai Tuk-Tuk disediakan.

"Manakala Pekan Lama Kuala Besut yang terletaknya jeti pelancong dicadangkan untukndiperindahkan dengan warna-warna bangunan ceria dan menarik.

"Jalan raya ditukar dari tar berturap kepada tapak gajah dan disarankan juga membina pintu gerbang sebagai salah satu mercu tanda gerbang pelancongan di Besut," ujarnya lagi.


Tag: