• 06 Mei 2024 | 27 Syawal 1445

NGO Serah Memo Desak MB Tuntut Kembalikan Royalti

KUALA TERENGGANU, 25 April - Sekretariat menuntut royalti Terengganu bersama dengan wakil ratusan gabungan badan bukan kerajaan (NGO) menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar Terengganu hari ini sebagai gesaan supaya Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar terus menuntut bayaran royalti (wang ihsan) daripada Kerajaan Persekutuan. 

Menurut Ahmad Samsuri, memorandum tersebut adalah manifestasi daripada rasa tidak puas hati terhadap penindasan dan penafian hak yang dilakukan terhadap rakyat negeri ini. 

"Pelbagai perkara telah dinyatakan disini tetapi saya belum teliti lagi.

"Insya-Allah kita akan melaksanakan langkah-langkah seterusnya untuk memastikan royalti Negeri Terengganu dapat kembali ke pangkuan negeri ini. Kita cuba dulu, InsyaAllah, " ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima memorandum yang diserahkan NGO Terengganu selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Iman, hari ini.

Ketika disoal sampai bila kerajaan Terengganu hendak berdiplomasi dengan Kerajaan Persekutuan, Ahmad Samsuri berkata, setiap langkah mesti memerlukan strategi.

"Macam kita hendak naik atas rumah, kita tidak terus melompat atas rumah, ada tangga dia. Naik atas rumah pun buka tingkap dulu, pergi ke dapur tengok suasana dalam rumah, jadi panjang lagi perjalanan.

"Pun begitu saya rasa macam yang saya sebutkan sebelum-sebelum ini pun bahawa perkara seperti ini bukan sahaja tidak menyenangkan kerajaan negeri bahkan mendatangkan kesukaran kepada kerajaan pusat kerana terpaksa meneliti dan melayan desakan-desakan. 

"Jadi kenapa tidak dikembalikan kepada keadaan yang asal sebelum ini supaya kita dapat hidup dalam keadaan lebih harmoni, tidak ada gangguan-gangguan yang dianggap oleh kerajaan pusat seperti ini. Dan kerajaan negeri pula dapat mengurus tabdir negeri dengan selesa, itu objektif utama, " jelas beliau. 

Katanya, beliau optimis dan akan cuba dengan pelbagai cara termasuk seperti yang disebutkan dalam ucapan penggulungan bahawa kedatangan Perdana Menteri ke Negeri Terengganu untuk raya madani ini akan dimanfaatkan dengan sepenuhnya.

"Saya sentiasa sebut dari dulu sampai sekarang tidak menjadi objektif kita untuk berseteru atau mencari pasal dengan mana-mana pihak.

"Kita cuma hendak urus tadbir negeri dengan tenang dan baik dan memberi manfaat untuk rakyat. Sebarang masalah yang timbul kita akan tangani dengan pelbagai saluran yang ada, " ujarnya.