• 05 Mei 2024 | 26 Syawal 1445

Terengganu Mahu Buka Industri Hidrogen Hijau Bernilai RM1.75 Bilion

KUALA TERENGGANU, 25 April - Terengganu berhasrat untuk mula membuka Industri Hidrogen Hijau pada tahun ini dengan jangkaan Pelaburan Langsung Asing (FDI) bernilai RM1.75 bilion.

Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Khuzaini Ab Rahman berkata, melalui projek tersebut ia akan menjana nilai ekonomi RM2.8 bilion untuk tempoh 10 tahun.

Katanya, industri itu juga bakal memberi peluang pekerjaan kepada 2,000 penduduk tempatan dan impak rantaian bekalan.

"Terengganu akan menjadi pendahulu dalam teknologi tenaga bersih selaras dengan 'Perjanjian Paris' mengenai perubahan iklim.

"Inisiatif  ke hadapan, perjumpaan dan mesyuarat bersama tiga syarikat gergasi Korea untuk kerjasama pengeluaran hidrogen hijau di Terengganu dan pengeksportannya ke Korea Selatan, Perjanjian Persefahaman (MOU) akan ditandatangani dalam masa terdekat.

"Jangkaan projek mula adalah seawal suku keempat 2024 (dengan) kapasiti penuh hidrogen hijau (minima 10,000 tan setahun) menerusi kaedah mini hidro. Kapasiti akan ditingkatkan melalui fasa-fasa terkemudian melalui kaedah solar dan lain-lain tenaga hijau yang berpotensi," ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sesi Penggulungan Ke Atas Usul Menjujung Kasih dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Terengganu ke -15 bagi tahun 2024, di Wisma Darul Iman, semalam.

Mengulas lebih lanjut Khuzaini berkata hidrogen hijau pada waktu ini digunakan di Korea Selatan untuk menjana elektrik dan tenaga untuk bandar pintar dengan reka bentuk dan jaringan paip gas hidrogen serta sistem elektrolizer yang modular.

"Aspirasi Kerajaan Negeri dalam menangani isu global dan merealisasikan teknologi hijau ini akan dapat dijelmakan dalam waktu terdekat," ujarnya.

Sebelum ini katanya, Kerajaan Negeri diketuai Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar telah ke Korea Selatan pada Mac lalu untuk meneroka potensi kerjasama dengan syarikat gergasi di Korea Selatan dalam Industri Hidrogen Hijau.

"Menteri Besar (pada waktu itu) telah menandatangani MOU bersama dengan beberapa pemain industri utama hidrogen hijau di Korea Selatan yang menjadi pereka dan pengeluar sistem elektrolizer hidrogen dengan prestasi kecekapan penukaran air ke gas hidrogen antara yang terbaik di dunia.

"Iaitu menghampiri 90 peratus kecekapan. MOU tersebut adalah untuk membentuk pakatan strategik dan kerjasama bagi projek hidrogen hijau yang berpotensi di Terengganu.

"Kerjasama ini turut menggariskan keutamaan bagi membuka peluang pekerjaan yang berkemahiran tinggi buat anak-anak Terengganu," ujarnya.