100 Anak Asnaf Ceria Pilih Kelengkapan Raya

KUALA TERENGGANU, 12 April- Seramai 100 anak asnaf dari daerah Kuala Terengganu dan Marang kelihatan ceria apabila berpeluang memilih kelengkapan raya masing-masing sempena program Projek Baju Raya 2022 di KTCC Mall, hari ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja berkata, program anjuran AKRAB SUK Terengganu dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM), PUSPANITA Negeri Terengganu, Terengganu Inc dan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu itu merupakan salah satu usaha murni untuk mendekati masyarakat yang kurang bernasib baik.

“Program ini diadakan bagi meraikan pelajar asnaf untuk pembelian pakaian baru sempena perayaan Aidilfitri yang bakal tiba dengan melibatkan ibu bapa angkat yang terdiri daripada ahli AKRAB SUK Terengganu dan ahli PUSPANITA Negeri Terengganu.

“Tujuannya adalah untuk meringankan beban keluarga asnaf disamping meraikan silaturrahim di antara pelajar dan ibubapa angkat dalam suasana dan bicara santai,” ujarnya kepada pemberita pada program tersebut.

Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Anuar Awang; Yang Dipertua Majlis Daerah Marang merangkap Pengerusi AKRAB SUK Terengganu, Zuwislan Awang serta Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM), Prof Madya Dr Ahmad Azrin Adnan

Hadir sama, Timbalan Pengerusi II PUSPANITA Cawangan Negeri Terengganu, Wan Radziah Wan Mokhtar dan Ketua Unit Komunikasi Strategik, Terengganu Incorporated Sdn Bhd, Suridah Supian.

Terdahulu, Tengku Sri Bijaya Raja turut meluangkan masa beramah mesra dengan anak asnaf untuk memilih baju raya mereka.

Sementara itu, Zuwislan berkata, matlamat program yang dianjurkan adalah meraikan dan membantu golongan memerlukan terutamanya kanak-kanak dengan harapan dapat berkongsi rezeki serta kegembiraan untuk menyambut Aidilfitri.

“Lebih menggembirakan, pihak MAIDAM telah memperuntukkan RM200 bagi setiap pelajar asnaf untuk membeli baju raya dan mereka dibawa ke KTCC bersama ibu bapa angkat masing-masnig untuk merasai sendiri suasana persiapan membeli belah kelengkapan baju raya di pasar raya itu,”katanya.