SHMMP KRISMAS: 176 Anggota KPDN Terengganu Ditugaskan Pantau Harga
KUALA TERENGGANU - Kira-kira 10,000 orang dijangka menghadiri Muktamar Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Pusat 2018 yang dijadualkan berlangsung di Kuala Terengganu selama tiga hari mulai 14 September ini.
Muktamar PAS Pusat akan berlangsung di Stadium Tertutup Gong Badak diikuti Dewan Pemuda Pas di Duyong Marina Resort, Dewan Muslimat di Taman Tamadun Islam (TTI) manakala Dewan Ulama PAS di Hotel Permai.
Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mohktar berkata, kerajaan negeri berhasrat menjadikan program tahunan yang memilih Terengganu sebagai tuan rumah itu, sebuah acara yang melibatkan seluruh masyarakat bukan setakat anggota parti sahaja.
“Orang ramai boleh datang untuk melihat pameran, melakukan aktiviti riadah bersama keluarga dan sebagainya kerana pelbagai aktiviti menarik disediakan untuk pengunjung.
“Malah, pengunjung luar juga diharap tidak melepaskan peluang untuk menerokai Terengganu kerana terdapat agensi berkaitan akan turut mempamerkan produk pelancongan menarik yang ada di negeri ini,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Seminar kearifan Tempatan-Tekstil Serta Pelancaran e-Commerce Muzium Maya Dan Pelancaran Buku Kearifan Tempatan di Kompleks Muzium Negeri, semalam.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ A. Rahman Yahya; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman; Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Dato’ Kamarul Bahrin A. Kassim dan Pengarah Lembaga Muzium Terengganu, Che Muhammad Azmi Ngah.
Sementara itu, mengulas mengenai kandungan ucapan dasar yang akan dibentangkan oleh Presiden Pas, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang untuk dibahaskan oleh perwakilan ketika menyempurnakan perasmian muktamar tahunan itu kelak, antaranya termasuk kepentingan mewujudkan kerjasama politik baharu dalam mencorak masa depan PAS.
Menurut beliau, selain itu Abdul Hadi juga dijangka menggariskan beberapa hala tuju PAS untuk dipertimbangkan oleh kepemimpinan PAS di setiap peringkat seiring dengan suasana politik negara semasa.
“Contohnya mengenai kepentingan untuk memastikan Islam sebagai agama persekutuan dipertahankan dan kebajikan rakyat terutama yang menjadi majoriti dalam negara ini terpelihara, begitu juga dari segi budaya dan akhlaknya,” ujarnya.