Pembatalan Pertemuan Anwar-Prabowo: Ahmad Amzad Desak Penjelasan Segera
50 Pasukan Bakal Berentap Rebut Piala YB ADUN Sura
DUNGUN, 24 November – Sebanyak 50 pasukan dari seluruh Malaysia bakal bersaing merebut gelaran juara dalam Kejohanan Bola Sepak Pantai Piala YB ADUN Sura 2024 yang berlangsung di Pantai Sura, Dungun pada akhir November ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin berkata kejohanan itu merupakan acara tahunan yang telah memasuki edisi kelima tahun ini.
“Ia adalah acara yang sentiasa dinanti-nantikan oleh peminat sukan tempatan dan seluruh negara.
"Selain menjadi medan persaingan, kejohanan ini juga bertujuan mempromosikan sukan bola sepak pantai yang semakin mendapat perhatian dan ini merupakan tahun kelima ia dilaksanakan,” ujarnya sewaktu membuat tinjauan persiapan padang.
Beliau turut berkata tujuan utama kejohanan ini dilaksanakan adalah untuk menyokong perkembangan 'sport tourism' di Dungun khususnya di Dun Sura.
"Kejohanan ini bukan sahaja memberikan peluang kepada para pemain untuk menunjukkan kebolehan mereka, tetapi juga untuk menarik pengunjung dari seluruh Malaysia untuk hadir menyaksikan perlawanan ini. Kehadiran pengunjung pastinya memberikan impak positif terhadap ekonomi setempat.
"Selain kejohanan bola sepak pantai, pelbagai aktiviti sampingan turut diadakan seperti jualan gerai makanan, pameran sukan, dan hiburan muzikal, menjadikan suasana di Pantai Sura semakin meriah dan menarik.