DUNGUN, 13 Ogos — Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli, menzahirkan ucapan tahniah kepada anak kelahiran Bukit Chatak, Safawi Rasid atas kejayaan menerima Anugerah Kasut Emas Liga Super sempena Liga M Awards 2025/2026 sebagai Penjaring Terbanyak Liga Super (Tempatan), semalam.
Menurut beliau, pencapaian itu bukan sahaja menjadi kebanggaan buat Safawi dan keluarganya, malah turut membanggakan seluruh warga Dungun serta rakyat Terengganu.
“Semoga kejayaan ini menjadi pembakar semangat kepada Safawi untuk terus melakar pencapaian lebih besar dan mengharumkan nama Dungun serta Malaysia dalam arena bola sepak,” katanya.
Tambahnya, kejayaan Safawi itu menjadi inspirasi kepada anak-anak muda Dungun untuk terus berusaha mengejar impian dan mengembangkan bakat dalam bidang sukan.
Safawi yang beraksi bersama Kuala Lumpur City FC (KL City) turut dinobatkan sebagai Penyerang Tempatan Terbaik selepas meledak sebanyak 13 gol sepanjang saingan Liga Super musim lepas.
Jumlah jaringan tersebut menyaksikan Safawi muncul sebagai antara penyerang tempatan paling menyerlah dalam saingan musim 2025/2026, sekali gus membuktikan ketajaman serta konsistensinya di pentas bola sepak tertinggi negara.