lightning-solid
Berita :
Peruntukan Persekutuan Kepada Negeri Adalah Hak Perlembagaan, Bukan Ehsan PMX – Dr Azman
Peruntukan Persekutuan Kepada Negeri Adalah Hak Perlembagaan, Bukan Ehsan PMX – Dr Azman
Hidayah Azlin
13 jam yang lepas
285

KUALA TERENGGANU, 13 Ogos – Kerajaan Persekutuan ditegaskan mempunyai kewajipan dari segi undang-undang dan perlembagaan untuk menyalurkan peruntukan tahunan kepada kerajaan negeri, serta tidak seharusnya menggambarkan agihan kewangan berkenaan sebagai satu bentuk ehsan atau kebaikan individu Perdana Menteri.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri Terengganu, Dato’ Dr Azman Ibrahim berkata, penyerahan pelbagai sumber kekayaan dan hak kutipan cukai oleh negeri-negeri kepada Kerajaan Pusat telah dimaktubkan menerusi perjanjian pembentukan Persekutuan Malaysia.

Menurut beliau, tindakan negeri menyerahkan pelbagai punca pendapatan utama bukanlah disebabkan ketidakmampuan mengurus kekayaan bumi masing-masing, sebaliknya atas dasar mematuhi struktur pentadbiran Persekutuan yang dipersetujui bersama.

"Dalam perjanjian Persekutuan Malaysia, hasil khazanah dalam perut bumi dan lautan serta hasil-hasil cukai telah dilepaskan oleh negeri-negeri kepada Kerajaan Persekutuan.

"Antaranya termasuk Cukai Pendapatan, Cukai Kastam, Cukai Jalan, Duti Setem, hasil petroleum dan gas, serta bayaran denda mahkamah mahupun saman daripada agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)," katanya dalam satu kenyataan.

Dr Azman menjelaskan, hasil kutipan bernilai berbilion ringgit daripada negeri-negeri inilah yang meletakkan Kerajaan Pusat pada kedudukan kewangan kukuh, memandangkan tanpa sumbangan negeri, liputan hasil pusat hanya bergantung kepada tiga Wilayah Persekutuan iaitu Putrajaya, Kuala Lumpur dan Labuan.

Beliau berkata, berasaskan syarat penyerahan sumber kekayaan tersebut, Persekutuan dipertanggungjawabkan untuk memulangkan semula dana dalam bentuk peruntukan wajib tahunan, projek pembangunan mahupun bantuan kewangan kepada negeri-negeri.

"Penyaluran peruntukan ini termaktub dalam perjanjian dan menjadi satu kemestian kepada mana-mana pihak yang memerintah di Putrajaya untuk menunaikannya.

"Sama ada sesebuah kerajaan negeri itu pandai mencari duit atau mengalami kekurangan dana, hak untuk menerima peruntukan daripada pusat tetap wujud sebagaimana yang telah dimeterai," katanya.

Sehubungan itu, beliau mengkritik pendekatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX), yang menurutnya kerap mengulangi naratif seolah-olah penyerahan dana dan peruntukan Persekutuan kepada negeri dibuat atas dasar kemurahan hati serta jasa peribadi beliau.

Kata Dr Azman, kecenderungan membentuk persepsi sedemikian adalah satu kesilapan tanggapan yang perlu diperbetulkan kerana hak kewangan negeri disaji menerusi ikatan perlembagaan yang sah, bukannya ihsan politik semata-mata.


Tag :

Artikel Berkaitan