Petikan Kata Dr. Sam Cetus Tanda Tanya
KUALA TERENGGANU, 12 Disember - Kata-kata pendek yang disiarkan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar di akaun Facebook (FB) rasminya mencetuskan seribu tanda tanya.
Menerusi FB beliau, bekas Bendahari Perikatan Nasional (PN) itu membayangkan dirinya sedang dan akan melaksanakan satu keputusan besar.
"Saya cuba melakukan perkara yang betul pada masa yang sesuai.
“Ia mungkin hanya perkara kecil, tetapi pada kebiasaannya akan membezakan antara menang dan kalah,” katanya memetik kata-kata pemain bola keranjang terbaik dunia, Kareem Abdul-Jabbar.
Kenyataan di FB rasminya itu muncul sehari selepas beliau mengumumkan peletakan jawatan sebagai Bendahari PN.
Ketika ditanya mengenai peletakan jawatan terbabit selepas Majlis Perasmian dan Penyerahan Projek Paip Agihan Air Dari Kemaman Terengganu ke Gebeng, Pahang di Gebeng hari ini, Naib Presiden PAS itu enggan mengulas lanjut.
“Saya tahu topik apa yang anda semua nak tanya. Buat masa ini saya tidak mahu keluarkan apa-apa kenyataan, tunggu masa yang sesuai nanti,” katanya ringkas.
Difahamkan, Ahmad Samsuri bergegas beredar selepas majlis itu untuk ke Kuala Lumpur bagi menghadiri sidang Parlimen.