Jalur Gemilang
Berita :
Setiu Tonjol Budaya Tempatan Untuk Tahun Melawat Terengganu 2027
Setiu Tonjol Budaya Tempatan Untuk Tahun Melawat Terengganu 2027
Rohayati Ripin
1 jam yang lepas
33

SETIU, 26 September — Pelbagai keunikan budaya, kesenian, makanan dan cara hidup masyarakat Setiu akan diketengahkan sebagai antara tarikan sempena Tahun Melawat Terengganu 2027.

Pengarah Pengurusan Taman Negeri Terengganu, Dato' Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata, kawasan Setiu Wetlands memiliki kekayaan produk berasaskan komuniti yang berpotensi memberi pengalaman berbeza kepada pengunjung.

Menurutnya, pendekatan itu penting supaya pelancongan di Setiu tidak hanya tertumpu kepada keindahan alam semula jadi, sebaliknya turut memperkenalkan kehidupan serta warisan masyarakat tempatan.

“Di Setiu ini, komuniti memang kaya dengan pelbagai produk pelancongan. Kita ada budaya, kesenian, makanan dan cara hidup.

“Sayang kalau elemen ini tidak diketengahkan untuk dinikmati oleh pengunjung,” katanya ketika ditemui media selepas program perasmian Trail of Philosophy 2.0 di Pantai Setiu.

Beliau berkata, antara warisan tempatan yang boleh diperkenalkan kepada pelancong ialah persilatan, permainan wau dan gasing, dikir barat, wayang kulit serta masakan makanan laut termasuk ikan celup tepung.

Katanya, penganjuran Trail of Philosophy 2.0 yang memasuki tahun kedua turut menjadi platform untuk mengetengahkan produk komuniti selain membuka peluang ekonomi kepada penduduk setempat.

“Melalui program sebegini, kita boleh menyediakan dan menawarkan Setiu sebagai antara produk yang boleh diketengahkan untuk Visit Terengganu Year 2027,” katanya.

Menurut beliau, kira-kira 50 vendor terlibat dalam program berkenaan, manakala peluang kepada peniaga tempatan untuk menyertai program pelancongan turut tersedia sepanjang tahun.

Antara program yang boleh disertai vendor ialah Pekan Budaya, program di Pantai Pancaran Gelam, Trail of Philosophy serta Festival atau Karnival Setiu Wetlands.

Tun Ahmad Faisal berkata, kepelbagaian lokasi dan program membolehkan pengunjung menikmati pengalaman yang berbeza, selain memberi ruang kepada peniaga tempatan bergerak mengikut lokasi penganjuran.

“Kita ada sungai, bukit dan paya, jadi pengunjung boleh menikmati suasana yang berbeza dan peniaga yang terlibat juga tidak tertumpu di satu tempat sahaja,” katanya.

Mengulas persediaan bagi Tahun Melawat Terengganu 2027, beliau berkata Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu telah menyediakan peruntukan yang lebih besar bagi menghadapi tahun berkenaan.

“Tahun depan merupakan Tahun Melawat Terengganu. Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu sememangnya telah menyediakan peruntukan yang agak besar dan saya yakin program-program berbentuk komuniti seperti ini juga akan menerima peruntukan yang lebih besar pada tahun depan.

“Ini kerana program pelancongan yang melibatkan komuniti secara langsung dilihat mampu menjadi antara pemangkin utama dalam melonjakkan sektor pelancongan negeri serta menarik lebih ramai pelancong untuk berkunjung ke Terengganu,” katanya.

Menurut beliau, program pelancongan yang melibatkan komuniti dijangka terus diberi perhatian kerana mampu memberi impak secara langsung kepada penduduk setempat.

Dalam masa sama, beliau berharap kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dapat diteruskan bagi mendapatkan sokongan dalam aspek pembangunan infrastruktur, kerja pembaikan, program kebudayaan dan kesenian serta promosi pelancongan.

“Setakat ini, apa-apa program yang boleh melonjakkan pelancongan negara disokong oleh pihak kementerian.

“Selama ini pun kita mendapat bajet untuk infrastruktur, pembaikan serta program kebudayaan, kesenian dan promosi pelancongan daripada kementerian.

“Insya-Allah kita akan meneruskan hubungan baik ini. Bukan sahaja dengan Kementerian Pelancongan, tetapi Taman Negeri juga mempunyai sumber di NRES dan kita akan cuba mendapatkan bajet-bajet ini,” katanya.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan