100,000 Spesies Ikan Habuan Pemancing Di Tasik Kenyir
Ahmad Faisal bersama barisan penaja Asean Monsoon Casting Tournament (AMCT) 2017. Foto oleh Harish Fadzillah Kassim |
Kira-kira 100,000 pelbagai spesies ikan air tawar bakal dilepaskan ke Sungai Leban, Tasik Kenyir Hulu Terengganu sempena Asean Monsoon Casting Tournament (AMCT) 2017 pada 30 November ini.
Pertandingan yang menawarkan hadiah keseluruhan RM65,000 berupa enjin bot, bot aluminium, bot fibre, motor elektrik, produk dan aksesori memancing itu diadakan selama empat hari, berakhir pada 3 Disember.
Lebih 350 pemancing termasuk peserta dari Indonesia, Australia, Amerika Syarikat dan Singapura sudah mengesahkan diri menyertai pertandingan yang bertujuan membina rangkaian sosial melibatkan pelbagai negara, selain memperkenalkan lokasi memancing terbaik di rantau ini.
Peserta yang akan bergerak menggunakan perkhidmatan 14 rumah bot dan 150 bot fiber itu anjuran kerajaan negeri melalui Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) dan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah).
Pengarah JPNT, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata, pihaknya menyumbang kira-kira 10,000 ikan sebarau dan masih mengalu-alukan pihak lain untuk berbuat demikian bagi menjayakan program tahunan yang berkonsepkan tangkap dan lepas.
“Mereka tidak dibenarkan sama sekali membawa pulang hasil tangkapan sebaliknya hanya dibenarkan untuk mengambil gambar sebagai kenangan.
“Apa yang diperkenalkan sejak awal penganjuran bertujuan bagi menjaga kelestarian ekosistem marin dan konservasi habitat di Tasik Kenyir,”katanya Majlis Penyerahan Penajaan sempena AMCT di Duyong Marina, Kuala Terengganu, hari ini.
Turut hadir, Pengurus Pelancongan Ketengah, Ahmad Fathil Abd Ghani.
Turut hadir, Pengurus Pelancongan Ketengah, Ahmad Fathil Abd Ghani.
Ahmad Faisal berkata, hasil kolaborasi bersama penganjur, empat pemancing terbaik daripada program AMCT bakal mewakili negara menyertai International Bass Fishing di Andong Lake, Korea Selatan pada pertengahan tahun depan.
“Peserta yang mahu ke pertandingan itu perlu melepasi beberapa ujian kelayakan Program Anglers Exchange, selain memiliki enjin bot Mercury, “katanya