KUALA TERENGGANU, 29 April – Sebanyak 34 unit skrin Sistem Maklumat Pekerjaan Akar Umbi atau SAMPAI kini telah dipasang dan beroperasi di lokasi strategik di seluruh Terengganu bagi memudahkan rakyat mendapatkan maklumat peluang pekerjaan secara terus di peringkat komuniti.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dato’ Ariffin Deraman berkata, sistem itu menjadi medium penyampaian maklumat pekerjaan yang lebih mudah dicapai, khususnya kepada rakyat yang mempunyai akses terhad kepada teknologi maklumat.
Menurut beliau, maklumat yang dipaparkan melalui skrin digital SAMPAI sentiasa dikemas kini dari semasa ke semasa, termasuk tawaran jawatan kosong dengan purata sekitar 35 jawatan setiap bulan.
“Maklumat menerusi skrin SAMPAI dikemas kini dari semasa ke semasa.
“Antara maklumat yang disampaikan termasuk tawaran jawatan kosong dengan purata sekitar 35 jawatan setiap bulan, kebanyakannya dalam negeri Terengganu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong pada Mesyuarat Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 di Wisma Darul Iman.
Ariffin berkata, selain tawaran kerja biasa, skrin SAMPAI turut memaparkan peluang pekerjaan dalam industri terpilih seperti penerbangan, perkhidmatan kereta api dan sektor halal.
Katanya, maklumat berkaitan program temu duga, karnival kerjaya serta peluang latihan peningkatan kemahiran kepada pencari kerja turut disalurkan melalui sistem berkenaan.
Menurut beliau, pendekatan itu membolehkan maklumat pekerjaan sampai dengan lebih cepat kepada rakyat, terutama golongan pencari kerja di kawasan komuniti dan luar bandar.
“Di samping itu, setiap iklan jawatan turut disertakan kod QR yang membolehkan pencari kerja membuat permohonan secara terus tanpa sebarang kos,” ujarnya.
Tag :