Jalur Gemilang
Berita :
Terminal Bas RM17 juta di Jertih Dijangka Siap Hujung 2027
Terminal Bas RM17 juta di Jertih Dijangka Siap Hujung 2027
Mastura Jamal Din
1 jam yang lepas
121

BESUT, 22 Oktober - Pembinaan terminal bas baharu bernilai kira-kira RM17 juta di Jertih, Besut kini mencapai kemajuan lebih 30 peratus dan dijangka siap pada penghujung 2027.

ADUN Jertih, Dr. Riduan Mohamad Nor berkata, beberapa komponen struktur terminal itu sudah mula kelihatan, dengan tempoh pelaksanaan projek dianggarkan mengambil masa kira-kira dua tahun.

Bagaimanapun, menurutnya, kemajuan dan tempoh penyiapan projek itu bergantung kepada pelaksanaan serta peruntukan berkaitan.

“Apabila terminal ini siap kelak pada penghujung 2027, kemudahan itu bukan sahaja dapat digunakan penduduk Jertih, malah turut memberi manfaat kepada masyarakat sekitar Besut dan Setiu.

“Terminal yang lebih baik akan memudahkan pergerakan orang ramai dan berpotensi merancakkan aktiviti perniagaan di kawasan berhampiran,” katanya.

Riduan berkata, terminal itu dijangka memperkukuh kemudahan pengangkutan awam di Besut, selain membuka peluang perniagaan kepada penduduk tempatan.

Beliau turut mengaitkan prospek ekonomi kawasan itu dengan pelaksanaan perkhidmatan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), yang menurutnya berpotensi membawa lebih ramai pengunjung dan meningkatkan aktiviti ekonomi di Jertih.

Katanya, perkembangan sektor pengangkutan dan pelancongan perlu dimanfaatkan untuk mewujudkan peluang pekerjaan, khususnya bagi golongan muda.

“Matlamat kita adalah untuk memastikan pembangunan yang dilaksanakan memberikan manfaat langsung kepada rakyat, termasuk membuka peluang perniagaan dan pekerjaan kepada anak-anak muda.

“Apabila kemudahan pengangkutan bertambah baik, kita berharap lebih banyak aktiviti ekonomi dapat berkembang dan Jertih terus menjadi kawasan tumpuan,” katanya.

Menurut Riduan, penyediaan kemudahan awam yang saling melengkapi penting bagi memastikan penduduk setempat mendapat manfaat daripada pertumbuhan ekonomi, termasuk lebih banyak pilihan untuk bekerja dan mencari rezeki di kawasan sendiri.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan