lightning-solid
Berita :
115 Bakal Mahasiswa Jerteh Diseru Seimbang Akademik dan Akhlak
115 Bakal Mahasiswa Jerteh Diseru Seimbang Akademik dan Akhlak
Muhammad Afiq Mohd Sa'adi
1 hari yang lepas
80

BESUT, 10 Julai – Seramai 115 bakal mahasiswa dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Jerteh diseru memanfaatkan peluang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi dengan membina kecemerlangan akademik seiring pengukuhan akhlak, sahsiah dan pegangan agama.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jerteh, Dr. Riduan Mohamad Nor berkata, mahasiswa merupakan aset penting negara yang bakal mencorakkan masa depan masyarakat.

Justeru, katanya, mereka perlu melengkapkan diri dengan ilmu, integriti dan jati diri yang kukuh.

Menurut beliau, kejayaan sebenar bukan sekadar diukur melalui keputusan peperiksaan, sebaliknya lahir daripada keseimbangan antara kecemerlangan akademik, akhlak mulia dan nilai agama yang menjadi panduan sepanjang kehidupan.

"Alam universiti membuka pelbagai peluang dan cabaran. Jadilah mahasiswa yang berilmu, berakhlak serta mampu membawa nama baik keluarga, masyarakat dan negeri di mana sahaja berada," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Perjumpaan Bakal Mahasiswa anjuran Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Jerteh di Dewan Komuniti Padang Luas, semalam.

Riduan turut mengingatkan para bakal mahasiswa supaya bijak memilih pergaulan, memanfaatkan masa dengan aktiviti yang berfaedah serta terus menghayati nilai-nilai Islam agar tidak mudah terpengaruh dengan gejala yang boleh menjejaskan masa depan.

Program tersebut menghimpunkan 115 bakal mahasiswa yang akan melanjutkan pengajian di pelbagai institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara sebagai tanda penghargaan serta sokongan terhadap usaha mereka menimba ilmu.

Pada majlis itu, setiap bakal mahasiswa turut menerima sumbangan daripada Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Jerteh bagi membantu meringankan kos persediaan awal sebelum memulakan pengajian.

"Inisiatif itu diharapkan dapat menyuntik semangat kepada para mahasiswa untuk terus berusaha mencapai kejayaan, sekali gus melahirkan generasi berilmu, berintegriti dan berakhlak yang mampu menyumbang kepada pembangunan agama, masyarakat serta negara," tambah beliau.




Tag :

Artikel Berkaitan