LAUT Beri Diskaun 50 Peratus Kepada Pemegang Lesen Rumah Bot
SETIU, 24 Mac – Perasaan gembira dan syukur menyelubungi penerima hak milik rumah di Besut-Setiu Agropolitan (BSA) apabila impian mereka untuk memiliki kediaman sendiri akhirnya menjadi kenyataan selepas 12 tahun menunggu.
Fauzi Draman, salah seorang penerima dari Kampung Chalok, tidak dapat menyembunyikan rasa terharunya.
"Pada tahun 2013, saya ditawarkan menyertai projek ini. Pada awalnya, memang sangat sukar. Pendapatan rendah, anak-anak masih bersekolah, semuanya sangat mencabar," luahnya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan negeri, Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dan semua pihak yang membantu dalam proses pemilikan ini.
"Dari status projek kepada pemilikan kekal, ia satu perjalanan yang panjang.
"Kami bersyukur akhirnya semua ini menjadi realiti," tambahnya.
Mohd Roslan Mohd Noor, seorang lagi penerima, mengakui perjalanan untuk mendapatkan geran hak milik bukanlah sesuatu yang mudah.
"Kami sudah terlalu lama menunggu. Ia bukan sekadar rumah, tetapi masa depan kami.
"Akhirnya, hari ini kami bukan lagi penumpang di rumah sendiri," katanya sebak.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri, Pejabat Tanah Setiu, Pejabat Daerah, ADUN Langkap dan semua pihak yang terlibat dalam usaha merealisasikan impian mereka.