• 18 Okt 2024 | 15 Rabiul Akhir 1446

1,372 Guru di Terengganu Komited Perkukuh Pendidikan Al-Quran

KUALA TERENGGANU, 17 Oktober – Seramai 1,372 orang guru di seluruh negeri Terengganu komited dalam memperkukuhkan pendidikan Al-Quran melalui pelbagai inisiatif yang dilaksanakan, termasuk penggubalan modul baharu khusus untuk Guru Latih Al-Quran (GULA). 

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, usaha itu bagi memperkasa syariah dan dakwah di kalangan masyarakat setempat.

"Bengkel Penggubalan Modul Guru Latih Al-Quran (GULA) yang diadakan baru-baru ini telah berjaya mengumpulkan lebih daripada 32 guru terpilih yang mewakili setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Terengganu. 

"Objektif utama bengkel ini adalah untuk menaik taraf kemahiran khusus dalam pendidikan Al-Quran, berzanji, serta ilmu keagamaan lain," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Penutup Bengkel Penggubalan Modul Guru Latih Al-Quran (GULA) Tahun 2024 baru-baru ini 

Tambah Dr Khalil, beliau amat berbangga dengan komitmen yang ditunjukkan oleh guru-guru ini dalam menyumbang bakti kepada masyarakat melalui pendidikan agama. 

Tambahnya, walaupun terdapat beberapa permasalahan kecil, semuanya telah berjaya diatasi dengan baik. 

"Setakat ini, terdapat lebih 1686 kelas Al-Quran di seluruh negeri Terengganu yang merangkumi pelbagai kategori pendidikan, termasuk kelas khidmat masyarakat.

"Ini membuktikan semangat yang tinggi dalam memastikan ilmu Al-Quran terus disebarkan kepada generasi muda," ujarnya.


Tag: