141 Pasukan Polis Pantau 'Hotspot' Pelancongan
KUALA NERUS, 17 September – Polis Terengganu menggerakkan 141 pasukan pemantau bagi memastikan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) di kawasan ‘hotspot’ pelancongan dipatuhi.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, pihaknya memberi tumpuan dalam sektor tersebut memandangkan negeri ini telah beralih kepada fasa ketiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) hari ini.
“Semua Polis daerah-daerah telah diarahkan untuk membuat penugasan di pulau dan pusat peranginan, ini termasuk di Kuala Terengganu seperti Pantai Batu Buruk dan Teluk Ketapang juga menyaksikan aktiviti masyarakat luar biasa.
“Contohnya seperti di Pulau Redang, kita mengarahkan 21 orang penguatkuasa memantau kawasan pantai, restoran dan kafe dari segi susun atur meja dan kedudukan supaya tidak sesak dengan pengunjung tempatan.
“Pada hujung minggu juga kita akan beroperasi lebih kerap dan mengerahkan anggota bantuan daripada ‘mainland’ datang ke sini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas program perjumpaan bersama pengusaha pelancongan Pulau Redang di Balai Redang hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Dato' Yahaya Ali dan Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Fadli Yusof Zakaria.
Dalam pada itu, Rohaimi turut menyeru kerjasama pengusaha pelancongan seperti di resort dan chalet dalam memastikan SOP wajib dipatuhi seperti lengkap dua dos vaksin melebihi tempoh 14 hari.
“Jika tinjauan harian tidak dapat menampung, oleh itu, dialog bersama para pengusaha seperti hari ini penting dalam memberi kefahaman, kerjasama dan tanggungjawab kepada mereka untuk menjaga sektor ini.
“Agensi penguatkuasa tempatan juga akan turut sertai dalam usaha mengekang penularan COVID-19 di kalangan pengunjung,” katanya lagi.