Berita :
Pulau Kapas Makin Dikenali Dunia Dengan Acara Swimathon 2026
Pulau Kapas Makin Dikenali Dunia Dengan Acara Swimathon 2026
Hafiz Rosli
2 jam yang lepas
88

MARANG, 4 Mei - Pulau Kapas terus mengukuhkan kedudukannya di peta pelancongan dunia apabila penganjuran Kapas Marang Swimathon 2026 berjaya menarik penyertaan peserta dari dalam dan luar negara, sekali gus mengangkat Terengganu sebagai destinasi utama pelancongan sukan (sport tourism).

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris berkata, program berprestij itu merupakan antara acara utama dalam Kalendar Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Terengganu 2026.

Menurutnya, Swimathon bukan sahaja menghimpunkan atlet renang air terbuka dari pelbagai negara, malah turut memperkenalkan keindahan Pulau Kapas sebagai lokasi bertaraf antarabangsa.

"Kejayaan acara ini turut diperkukuh dengan pengiktirafan Pulau Kapas sebagai antara lokasi pilihan dunia oleh World Open Water Swimming Association (WOWSA), yang membuktikan kualiti penganjuran serta keunikan kawasan tersebut.

"Pulau Kapas yang terletak berhampiran tanah besar Marang menjadi tarikan utama kerana air lautnya yang jernih, terumbu karang yang cantik serta keadaan laut yang tenang dan selamat untuk aktiviti renang air terbuka.


“Semua kelebihan ini menjadikan Pulau Kapas semakin dikenali di peringkat dunia dan sesuai sebagai lokasi acara sukan bertaraf antarabangsa,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah Kapas Marang Swimathon 2026 di Pantai Kekabu Marang semalam.

Turut hadir Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, YM Dato' Tengku Mohd Arifin Tengku A. Rahman, Pegawai Daerah Marang, Zulkifli Isa dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Marang, Khairil Anuar Sheikh Mahmood.

Tambah Razali, Kerajaan Negeri turut mengambil inisiatif meraikan peserta melalui majlis santai di Pulau Kekabu sebagai usaha mengeratkan hubungan antara peserta dan memberi pengalaman pelancongan tempatan yang lebih bermakna.

Untuk makluman, acara Swimathon merupakan acara renang air terbuka yang bermula dari Pulau Kapas ke Pantai Marang, melibatkan laluan rentas laut terbuka yang menjadi cabaran kepada para peserta dari pelbagai negara.

Dalam pada itu, penganjuran Swimathon 2026 ini juga memberi impak besar kepada industri pelancongan negeri, selain menyokong persediaan Tahun Melawat Malaysia 2026 serta Tahun Melawat Terengganu 2027.

"Setakat suku pertama 2026, Terengganu mencatatkan kehadiran kira-kira 2.45 juta pelancong, menunjukkan peningkatan positif dalam sektor pelancongan negeri," katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua peserta yang menunjukkan disiplin tinggi sepanjang acara berlangsung serta mematuhi segala peraturan yang ditetapkan.

“Ini selari dengan pendekatan pelancongan berteraskan nilai yang kita bawa, iaitu Indahnya Hidup Bersyariat, yang bukan sahaja mesra Muslim tetapi juga sesuai untuk semua pengunjung.

“Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dari dalam dan luar negara atas sokongan dan penyertaan dalam menjayakan acara ini. Kami mengalu-alukan semua untuk terus singgah dan menikmati keindahan mana-mana destinasi menarik di Terengganu," ujarnya.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan