KUALA NERUS, 4 Januari - Sebanyak 15 tan sampah berjaya dikumpulkan dalam Program Bersih Pantai Monsun Terengganu yang dianjurkan oleh kerajaan negeri membabitkan Pantai Batu Buruk dan Pantai Seberang Takir.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, usaha melalui program yang dijalankan itu bermatlamat bagi mengembalikan keindahan pesisir pantai terbabit.

"Ini bagi memastikan ia menjadi petunjuk kepada masyarakat bahawa menjaga kebersihan pantai ini sangat penting kerana ia merupakan produk pelancongan negeri Terengganu.

"Kita akan perluaskan lagi program ini di seluruh daerah, dan usaha pembersiahan pantai ini akan diteruskan lagi melalui program 'Terengganu Bersih' yang akan dilaksanakan pada April," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa hadir ke program berkenaan, yang diadakan di sini, hari ini.

Mengulas lebih lanjut mengenai program yang diadakan itu, katanya ia melibatkan 1,000 peserta dari pelbagai lapisan masyarakat termasuk anak syarikat kerajaan negeri, agensi swasta serta komuniti setempat.

Juga mendapat kerjasama antaranya dari Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Selain itu turut terlibat Terengganu Incorporated Sdn. Bhd. , Petronas Pantai Timur dan NGO Geng Plastik Ija.

Sementara itu Razali berkata pihaknya kerajaan negeri bercadang untuk menjadikan program Bersih Sampah Monsun itu sebagai aktiviti tahunan. 

"Usaha ini adalah bukti komitmen kerajaan negeri terhadap pemeliharaan alam sekitar serta menyokong pembangunan yang lestari.

"Ia bukan sahaja menjadi platform kebersihan tetapi juga simbol kerjasama komuniti dalam menjaga warisan semula jadi negeri,"katanya.