MARANG, 15 Disember - Seramai 150 orang pelajar Sekolah Rendah Islam Darul Quran (SRIDQ) menerima bantuan baju sekolah serta kelengkapan alat tulis berjumlah RM15,000 dari Tenaga Nasional Berhad (TNB) Terengganu melalui Program Ceria Ke Sekolah (CKS), sekali gus meringankan beban ibu bapa.
Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya sangat menghargai usaha TNB membantu para pelajar untuk melakukan persediaan sebaik-baiknya menjelang persekolahan baru nanti termasuk mereka yang akan mula memasuki darjah satu di sekolah terbabit.
"Setinggi-tinggi penghargaan saya ucapkan kepada TNB sebagai penaja utama program ini, serta kepada semua pihak yang menjayakannya.
"Semoga sumbangan yang disampaikan oleh TNB dan usaha semua pihak ini akan diberkati dan dirahmati oleh Allah SWT," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program CKS itu, di Dewan SRIDQ, di sini, semalam.
Dalam pada itu, Pengurus Besar TNB Terengganu, Mohamad Mohyddin Mohd Noor berkata, program CKS itu merupakan inisiatif tahunan yang terlah dilaksanakan sejak 2013.
"Menjadikan program ini memasuki tahun ke-13 penganjurannya, program ini dijalankan setiap tahun di seluruh negara dari pertengahan November hingga pertengahan Januari sebagai persediaan awal sesi persekolahan baharu.
"Sehingga kini, CKS telah memberi manfaat kepada lebih 86,000 keluarga di seluruh negara dengan jumlah perbelanjaan RM13.7 juta," ujarnya.
