Jalur Gemilang
Berita :
Ada Betulnya Kata Dr. Sam
Ada Betulnya Kata Dr. Sam
Husaif Mamat
1 jam yang lepas
62

Apa gunanya ekonomi negara berkembang setiap tahun, bangunan semakin tinggi dan pelaburan berbilion ringgit masuk, tetapi kehidupan rakyat masih terhimpit?

Persoalan ini mengingatkan kita kepada pandangan Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, ketika berucap pada SG4 Business & Economic Forum 2026, Oktober lalu.

Beliau menegaskan bahawa kejayaan sesebuah pentadbiran tidak seharusnya dinilai melalui pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan nilai pelaburan semata-mata, sebaliknya perlu melihat sejauh mana manfaatnya benar-benar dirasai rakyat.

Ada betulnya kata Dr. Sam.

Apa guna KDNK meningkat setiap tahun, tetapi rakyat di bandar maju masih terpaksa mengangkat perabot setiap kali rumah dilanda banjir?

Apa maknanya ekonomi berkembang jika seorang ayah terpaksa melakukan dua pekerjaan, keluar awal pagi dan pulang lewat malam sehingga tidak mempunyai masa bersama anak-anak?

Apa ertinya tinggal di bandar moden jika rakyat masih bimbang untuk keluar rumah kerana masalah keselamatan?

KDNK mungkin meningkat, tetapi adakah kualiti hidup rakyat turut meningkat?

Pandangan ini sebenarnya mempunyai asas akademik.

Pada 2009, tiga tokoh ekonomi dunia, Joseph Stiglitz, Amartya Sen dan Jean-Paul Fitoussi menghasilkan laporan yang menegaskan bahawa kemajuan sesebuah negara tidak boleh dinilai melalui KDNK semata-mata.

Sebaliknya, ukuran pembangunan perlu mengambil kira pendapatan isi rumah, kesihatan, pendidikan, ketidaksamaan dan kualiti kehidupan.

Malah, Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) turut menilai kesejahteraan melalui aspek perumahan, keselamatan, hubungan sosial serta keseimbangan antara pekerjaan dengan kehidupan.

Maknanya, negara maju sendiri sudah lama melihat pembangunan daripada sudut yang lebih luas.

Menariknya, ketika membentangkan Belanjawan Terengganu 2027 di Dewan Undangan Negeri pada 16 November lalu, Dr. Sam menghuraikan lima elemen yang boleh dijadikan faktor utama kebahagiaan dan kesejahteraan rakyat.

Pertama, keagamaan. Rakyat mempunyai ruang untuk mendekatkan diri kepada Tuhan dan menjalani kehidupan beragama.

Kedua, kekeluargaan. Kewangan isi rumah stabil, hubungan keluarga harmoni dan ibu bapa mempunyai masa bersama anak-anak.

Ketiga, kemasyarakatan. Rakyat mempunyai masa untuk berjiran, bersosial, berehat dan beriadah.

Keempat, keintelektualan. Rakyat mendapat pendidikan berkualiti dan peluang mengembangkan potensi diri.

Kelima, keselamatan. Rakyat dapat hidup dengan aman dan bergerak tanpa rasa takut.

Lima faktor ini boleh menjadi asas kepada kayu ukur pembangunan yang lebih dekat dengan kehidupan sebenar rakyat.

Menariknya, berdasarkan Indeks Kebahagiaan Rakyat Malaysia 2024 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Terengganu mencatatkan skor tertinggi negara, iaitu 8.64.

Bagaimanapun, pencapaian tersebut bukan bermakna semua masalah rakyat sudah selesai.

Masih ada ruang untuk memperbaiki pendapatan, peluang pekerjaan, kemudahan asas dan pelbagai aspek kehidupan.

Sebab itu, lima faktor yang dibawa Dr. Sam perlu diterjemahkan kepada hasil yang boleh diukur, bukan sekadar dasar yang sedap didengar.

KDNK tetap penting. Tanpa pertumbuhan ekonomi, sukar untuk kerajaan menyediakan pekerjaan, meningkatkan pendapatan dan membiayai pembangunan.

Namun, pertumbuhan ekonomi sepatutnya menjadi jalan untuk memperbaiki kehidupan rakyat, bukannya matlamat akhir.

Jangan sampai negara semakin kaya, tetapi rakyat semakin penat. Bandar semakin maju, tetapi keluarga semakin jauh. Pendapatan meningkat, tetapi ketenangan hidup semakin mahal.

Akhirnya, kejayaan sesebuah kerajaan bukan sekadar diukur melalui berapa banyak kekayaan yang berjaya dijana, tetapi sejauh mana kekayaan itu memberikan manfaat kepada rakyat.

Ada betulnya kata Dr. Sam. Rakyat hidup dalam realiti, bukan dalam angka KDNK.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan