16 Pemohon Terima Rumah PPTS Bukit Besi Di Majlis Hari Raya DUN


Oleh: Adli Mohamad

DUNGUN, 16 Jun - Hari Raya tahun ini membawa makna yang tersendiri kepada 16 pemohon Program Perumahan Terengganuku Sejahtera (PPTS) apabila hajat mereka memiliki kediaman sendiri menjadi kenyataan pada Majlis Sambutan Rumah Terbuka Hari Raya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi.

Pegawai Penyelaras DUN Berkenaan, Haji Ghazali Sulaiman berkata, penerima jangan merasa rendah diri, sebaliknya menjadikan pemberian dan anugerah dari kerajaan itu sebagai pemangkin semangat untuk mengubah kehidupan diri dan keluarga.


"Tepis segala persepsi dan tanggapan negatif masyarakat terhadap mereka yang mendiami rumah PPTS sekali gus berusahalah sehabis daya agar kehidupan di masa akan datang lebih baik," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita, selepas penyerahan replika kunci rumah PPTS di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri, di Dataran Berbumbung Piramid, Lay Bay, Bukit Besi, kelmarin.

Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Haji Yahaya Ali, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka, Ustaz Satiful Bahri Mamat, ADUN Sura, Wan Hapandi Wan Nik, ADUN Rantau Abang, Alias Harun dan Ahli Parlimen Dungun, Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli.


Ghazali berkata, penduduk yang berusia 45 tahun ke atas termasuk ibu tunggal dipilih untuk menjadi penghuni rumah berkenaan.

"Di antara ciri lain yang diutamakan ialah ibu tunggal yang tidak mempunyai pekerjaan dan mempunyai tanggungan yang ramai dan benar-benar dari golongan termiskin di dalam DUN Bukit Besi," tambahnya.

Menurut beliau, dengan kejayaan mereka menjadi penghuni PPTS, penerima rumah berkenaan tidak lagi layak memohon tanah bagi tapak rumah kediaman tetapi masih berpeluang untuk memiliki lot tanah pertanian.



Tag: