19,237 Pelajar Terengganu Duduki PT3
Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. |
KUALA TERENGGANU - Seramai 19,237 calon menduduki peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) membabitkan 145 pusat peperiksaan di seluruh Terengganu, bermula pagi ini hingga Khamis.
Peperiksaan bermula sejurus selepas 8:00 pagi dengan mata pelajaran Bahasa Melayu dan Matematik diikuti Bahasa Inggeris dan Sains esok.
Pada hari Rabu menyaksikan calon akan menduduki Kertas Kemahiran Hidup dan Pendidikan Islam manakala hari terakhir peperiksaan pada Khamis kertas peperiksaan bahasa akan berjalan.
PT3 dimulakan pada 2014 bagi menggantikan Penilaian Menengah Rendah (PMR).
Sesetengah pelajar dilihat tidak melepaskan peluang untuk terus mengulang kaji sebelum memasuki dewan peperiksaan.
Ibu bapa dan guru juga ada yang dilihat memberi kata-kata perangsang kepada pelajar mereka yang menduduki peperiksaan.
Sementara itu, Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengucapkan selamat menduduki peperiksaan PT3 kepada para calon. Hadapilah peperiksaan dengan hati yang tenang, selain perlu yakin dengan kebolehan masing-masing.
Katanya, jangan lupa berdoa kepada Allah, semoga dipermudahkan segalanya. Ini bukan kali pertama anak-anak menghadapi peperiksaan, pasti dapat melakukan yang terbaik.
“Proses pembelajaran memerlukan kita membuat penilaian kepada pemahaman dan usaha kita selama ini. Apa yang penting ialah mempunyai keyakinan kepada diri sendiri.
“Semangat yang kuat serta tidak mudah putus asa dengan setiap rintangan dan kesudahan. Terus berdoa kepada Allah S.W.T agar diberi ketenagan ketika menjawab PT3,” katanya.