lightning-solid
Berita :
Nelayan Dipercayai Hilang Di Perairan Kuala Dungun
Nelayan Dipercayai Hilang Di Perairan Kuala Dungun
Muhammad Afiq Fahmi Ahmad Faris
2 jam yang lepas
38

DUNGUN, 28 Ogos – Seorang nelayan, Sabrie bin Rusli, 32, dilaporkan hilang selepas bot yang dinaikinya dipercayai terbalik akibat keadaan laut bergelora dan ombak besar di perairan Muara Kuala Dungun.

Menurut kenyataan media Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden (Supt.) Nik Ab Halim Nik Mat pihak polis menerima maklumat berhubung kejadian pada 27 Ogos 2026, kira-kira jam 8.59 malam, semalam.

Berikutan kejadian itu, tindakan segera diambil dengan memaklumkan perkara berkenaan kepada agensi berkaitan bagi mendapatkan bantuan serta mengatur gerakan Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR).

Operasi pencarian di laut diteruskan pada pagi ini, selepas keadaan cuaca dan laut pada waktu malam tidak mengizinkan. Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) turut dibuka pada jam 8.00 pagi di Kuala Dungun bagi menyelaras gerakan pencarian.

Operasi berkenaan melibatkan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dengan kekuatan keseluruhan kira-kira 63 anggota, termasuk bantuan orang awam.

Antara aset yang digunakan ialah bot PAC 122 PDRM, bot aluminium JBPM, Bot Perkasa 49 APMM Zon Kemaman, Kapal Maritim Jujur APMM Zon Kelantan, sebuah bot dan dua jet ski milik orang awam, selain aset darat termasuk jentera bomba, kenderaan pacuan empat roda, lori dan ambulans.

Sehingga kini, mangsa masih belum ditemui dan operasi pencarian masih giat dijalankan di sekitar perairan Muara Kuala Dungun dengan mengambil kira keadaan arus, cuaca serta pergerakan laut.

Polis turut menasihatkan komuniti nelayan dan orang awam supaya mengutamakan keselamatan ketika berada di laut, khususnya ketika keadaan cuaca tidak mengizinkan dan laut bergelora.

Orang awam juga diminta supaya tidak mengambil risiko melakukan pencarian sendiri tanpa penyelarasan pihak berkuasa. Sebarang maklumat berkaitan mangsa hendaklah disalurkan segera kepada balai polis berhampiran atau PKTK di lokasi kejadian bagi membantu usaha pencarian.


Tag :

Artikel Berkaitan