20,000 Rumah Mampu Milik Akan Dibina Segera

Foto: Abdul Muhaimin


 Oleh : Dzakaria Mohd Salleh

SETIU - Kerajaan negeri akan merealisasikan perancangan membina 20,000 rumah mampu milik  (RMM) sepertimana dalam manifestonya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu, secepat mungkin bagi memastikan lebih ramai rakyat dapat memiliki kediaman lebih selesa.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, bagi memastikan hasrat dan janji kerajaan itu dapat dicapai, agensi kerajaan yang berkaitan perlu memainkan peranan penting dalam membantu kerajaan.

"Kerajaan sangat mengharapkan kerjasama semua agensi-agensi yang terlibat menjayakan hasrat ini dapat dilaksanakan," ujarnya ketika merasmikan Bengkel Spesifikasi RMM, di Sutra Beach Resort, Merang, di sini, pagi ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), Engku Md. Azmi Engku Abd. Rahman.

Bengkel tiga hari anjuran Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) itu turut disertai oleh pegawai-pegawai dari pelbagai agensi berkaitan.

Alias berkata, pada tahun ini mesyuarat kerajaan negeri meluluskan empat tapak untuk RMM di empat daerah iaitu di Kampung Tok Jembal (Kuala Nerus), Kampung Tempinis (Setiu), Kampung Gong Cengal (Kemasik) dan Kampung Tajin (Hulu Terengganu).

Ujarnya lagi, PMINT dilantik sebagai pelaksana projek dengan sasaran kerajaan untuk membina 700 unit pada peringkat awal sebelum melaksanakan di semua daerah berkenaan.

Sehubungan itu, beliau berharap bengkel yang diadakan itu akan dapat menemui langkah terbaik bagi memudahkan dan mempercepatkan proses tender serta mengatasi amalan birokrasi bagi memastikan sasaran itu tercapai.

Dalam masa yang sama menurut Alias lagi, kerajaan dalam manifestonya yang lalu juga menawarkan satu pinjaman perumahan kepada rakyat.

"Sebanyak RM50 juta setahun, tidak salah saya, sebahagiannya sudah bersedia untuk membantu mereka yang tidak mampu untuk membeli rumah dan tidak mendapat pinjaman dari institusi kewangan.

"Kerajaan akan membantu memudahkan rakyat supaya memiliki rumah sendiri,"katanya.




Tag: