Hakisan Pantai : Fokus Penyelesaian, Jangan Main Politik - Dr Sam
224 Penduduk Langkap, Permaisuri Selangkah Miliki Tanah Sendiri
Oleh : Muhammad A.Rahman
SETIU, 12 Julai - Seramai 224 penduduk sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Langkap dan Permaisuri menerima borang Jadual 5A bagi Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) baru-baru ini sebelum mereka layak memiliki tanah tersebut sepenuhnya.
Majlis penyampaian tersebut adalah yang kedua selepas 500 penduduk telah menerima borang itu daripada Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebelum ini.
Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir berkata, kejayaan penyerahan tanah RTB berkenaan adalah bukti kerajaan negeri komited dalam menunaikan manifesto mereka sewaktu pilihan raya umum (PRU) 14 yang lalu.
“Kerajaan negeri kini sedang dalam proses untuk menyelesaikan kesemua RTB-RTB yang ada bagi mengembalikan hak rakyat yang pernah dinafikan dulu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam Majlis Penyerahan Borang 5A Peringkat Daerah Setiu di Dewan Serbaguna MDS, Sungai Tarom di sini.
Menurut beliau lagi, para peserta perlu menjelaskan kadar bayaran premium yang sama seperti yang telah diluluskan pada tahun 1999-2004 dahulu.
“Harga yang telah ditetapkan oleh kerajaan sekarang adalah sama dengan harga semasa diberi tanah tersebut, sekitar RM1,100 dan RM1,200 sahaja. Ini adalah satu harga yang rendah.
“Insya-Allah, kini dalam fasa terakhir proses pelepasan RTB-RTB ini kepada pemilik-pemilik oleh pihak kerajaan.
“Saya harap penerima-penerima RTB ini dapat menjelaskan pembayaran secepat mungkin agar mereka dapat diberi hak milik sepenuhnya,” ujarnya.
Tambah beliau, Setiu merupakan salah satu Parlimen yang mempunyai tanah RTB paling banyak iaitu ada 19 lot pertanian dan 10 lot rumah.