lightning-solid
Berita :
Pengalaman Mengenali, Menikmati Minuman Tongkat Ali Jadi Tarikan Baharu di KBT
Pengalaman Mengenali, Menikmati Minuman Tongkat Ali Jadi Tarikan Baharu di KBT
Adli Mohamad
6 jam yang lepas
53

KUALA TERENGGANU, 26 Ogos - Pengalaman mengenal dan menikmati minuman herba berasaskan Tongkat Ali dan Kacip Fatimah kini menjadi antara tarikan baharu yang diperkenalkan di Kampung Budaya Terengganu (KBT).

Lebih menarik, pengunjung bukan sahaja berpeluang mencuba minuman tersebut, malah akan melihat sendiri proses bagaimana dua herba tersebut diambil, dikeringkan dan disediakan untuk dinikmati oleh semua pengunjung.

Selain itu, kopi kampung yang dicampur dua herba terbabit turut tersedia untuk dirasa.

Penolong Pegawai Tadbir KBT, Siti Aisah Isa berkata, idea mengangkat herba terbabit sebagai produk pelancongan terbaru itu tercetus hasil lawatan kerja pihaknya ke Mari-Mari Cultural Village, Sabah yang mengetengahkan eleman herba dan bahan organik sebagai tarikan untuk memikat pengunjung.

Ujarnya, idea terbabit kemudian diperkukuhkan menerusi lawatan ke Pulau Herba di Tasik Kenyir yang diketahui memiliki pelbagai jenis herba termasuk Tongkat Ali Hitam dan Tongkat Ali Putih.

"Hasil lawatan tersebut membuka peluang untuk KBT mengangkat kekayaan herba tempatan sebagai sebahagian daripada pengalaman pelancongan yang boleh dinikmati pengunjung yang hadir ke sini tanpa perlu melakukan perjalanan jauh ke Tasik Kenyir.

"Menariknya, ia bukan sekadar pengalaman biasa tetapi pengunjung dapat melihat sendiri proses pembuatannya bagi dijadikan minuman," ujarnya ketika ditemui oleh Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), di Kampung Budaya Terengganu, di sini, baru-baru ini.

Mengulas lebih lanjut, dengan tarikan baharu yang menyediakan pengalaman tersebut secara tidak langsung menjadi satu satu platform untuk turut memperkenalkan kekayaan biodiversiti dan khazanah herba yang terdapat di negeri ini.

"Minuman ini akan disediakan untuk dinikmati pada setiap hari, tidak hanya terhad kepada program atau hari tertentu sahaja.

"Jadi, datanglah ke sini untuk meneroka dan merasai sendiri herba ini dan mengetahui khasiatnya,"katanya.

Siti Aisah berkata, pengisian terbaru tersebut merupakan usaha KBT memperbanyakkan pengalaman unik kepada pelancong dalam mengangkat identiti dan khazanah tempatan Terengganu.

"Selepas ini KBT akan memperkenalkan lebih banyak melakukan pengisian baru untuk menyediakan pengalaman yang boleh diterokai dan semestinya kita mahu memastikan KBT akan meninggalkan kenangan menarik agar senitasa terpahat segar di ingatan,"ujarnya.

Sementara itu Pembantu Penerangan KBT, Nur Atirah Ali berkata, kedua-dua herba tersebut memiliki keistimewaannya yang tersendiri.

"Kacip Fatiman secara tradisi sering dikaitkan dengan penjagaan kesihatan wanita, termasuk berkaitan hormon dan kitaran haid.

"Namun sebelum diberikan kepada pengunjung, kita akan bertanya terlebih dahulu sama ada mereka mengambil ubat-ubatan daripada klinik atau tidak kerana bukan semua minuman herba boleh diminum begitu sahaja oleh setiap individu,"ujarnya.

Bagi seorang pengunjung, Mohd Adam Ghazlan 21, dari Pahang berkata, idea KBT menjadikan minuman herba sebagai produk terbaru untuk menarik pengunjung merupakan satu langkah terbaik.

"Saya rasa ini merupakan langkah terbaik dalam memberikan pendidikan terbaik kepada masyarakat untuk mengetahui khasiatnya dan merasai sendiri.

"Bagi saya, ini merupakan pengalaman kali pertama merasai yang asli memang tidak dinafikan sangat pahit, namun mengetahui ia minuman yang bagus untuk kesihatan, jadi saya sarankan agar semua orang merasainya sendiri,"ujarnya.


Tag :

Artikel Berkaitan